Tunisia: Penunjuk perasaan bantah kematian pemuda dalam tahanan polis

Aktivis menuduh pasukan keselamatan tidak mengikut peraturan semasa menjalankan tugas berikutan revolusi 2011 yang menggulingkan rejim presiden Zine El-Abidine Ben Ali. (Gambar Reuters)

TUNIS: Polis Tunisia menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan berikutan kematian seorang pemuda ketika dalam tahanan polis di sebuah balai polis berdekatan pusat peranginan Hammamet, menurut sumber saksi.

Pemuda itu ditahan pada Jumaat selepas insiden pergaduhan antara kumpulan pemuda di bandar Barraket Essahel, 60 kilometer tenggara ibu negara Tunis.

Walaupun masih tidak dapat dipastikan punca kematian pemuda terbabit, penunjuk perasaan menyalahkan pasukan keselamatan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Dalam Negeri mengatakan pemuda itu dikatakan tidak sedar diri sebaik tiba di balai polis sebelum disahkan meninggal dunia pada Sabtu.

Seorang hakim mengarahkan siasatan terperinci dijalankan.

Polis di Barraket Essahel tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.

Aktivis Tunisia menuduh pasukan keselamatan tidak mengikut peraturan ditetapkan semasa menjalankan tugas sejak revolusi 2011 yang menggulingkan rejim Presiden Zine El-Abidine Ben Ali.