UEC, pembiayaan sekolah persendirian Cina, 2 perkara berbeza, kata ahli akademik

Kaum dan pendidikan merupakan isu yang mengundang pertikaian di negara ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik berkata, Putrajaya tidak perlu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) bagi membolehkannya memperuntukkan dana kepada sekolah persendirian Cina, berikutan gesaan Setiausaha Ahung Umno, Tan Sri Annuar Musa supaya kerajaan berbuat demikian.

Felo utama Institiut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Teo Kok Seong berkata, pengiktirafan UEC dan menyediakan dana kepada sekolah berkenaan adalah 2 isu berbeza.

“Pemberian dana biasa dan tidak mengikat boleh dilakukan secara sukarela di bawah Seksyen 16 Akta Pelajaran 1996.

“Pengiktirafan UEC, yang tidak harus diberikan, adalah bertentangan dengan Seksyen 15 akta yang sama,” katanya kepada FMT, dengan menambah tidak timbul isu jika kerajaan mahu menyalurkan peruntukan sedemikian.

Annuar, yang menyokong UEC, berkata, kerajaan harus mengiktiraf peperiksaan itu secara rasmi sekiranya ia mahu membiayai sekolah persendirian Cina.

Dalam temu buat terbaru dengan akhbar The Malay Mail, beliau menafikan menolak sama ada UEC atau sekolah Cina dengan berkata, isunya ialah mengenai keseragaman dalam dasar pendidikan negara.

Beliau juga mengulangi sokongan terhadap UEC dan berkata, Malaysia sepatutnya tidak berhadapan masalah menerimanya kerana ia diterima secara umum di Asia, Eropah dan Amerika.

Dalam Belanjawan 2019, Putrajaya memberi peruntukan langsung sebanyak RM12 juta bagi menaik taraf sekolah persendirian Cina sebagai sebahagian daripada dana RM652 juta untuk tujuan sama yang diperuntukkan kepada 10 jenis sekolah lain.

Peruntukan itu dan tambahan RM6 juta lagi yang diberikan kepada 3 kolej persendirian tidak bermatlamatkan keuntungan yang menerima pelajar Cina dikritik oleh parti pembangkang yang mempersoalkan rasional dan sifat tergesa-gesa peruntukan itu diberikan.

Teo berkata, institusi pendidikan swasta memang diberikan peruntukan oleh kerajaan selama ini, termasuk pada masa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Katanya dana berkenaan diberikan atas dasar mengambil hati, terutama pada masa pilihan raya.

“Dana yang diberikan kepada institusi pendidikan swasta, dalam kes ini kepada sekolah persendirian Cina dan kolej swasta tidak bermatlamatkan keuntungan yang menerima pelajar Cina oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan 2019, adalah lebih baik dan lebih selari dengan Seksyen 16 akta itu.

“Ini kerana institusi pendidikan Cina ini adalah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Beliau juga berkata, dana yang diberikan kepada institusi swasta adalah tidak tetap berbanding peruntukan yang diberikan kepada institusi pendidikan kerajaan dan institusi bantuan-kerajaan.

“Ia tidak mengikat seperti 2 kategori lain itu dan diberikan atas dasar “sukarela”,” katanya.

Teo Kok Seong. (Gambar Facebook)

Teo berkata, pemberian peruntukan kepada institusi sedemikian melalui belanjawan negara adalah lebih telus dan terhormat berbanding pemberian dana pada musim pilihan raya.

Beliau mengulangi pandangannya supaya UEC tidak diiktiraf dengan berkata, sekolah persendirian Cina yang menolak tawaran kerajaan supaya menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara harus sedar bahawa mereka termasuk dalam kategori pendidikan persendirian.

“Ibu bapa dan pelajar yang memilih jalan itu, iaitu untuk berada di sekolah persendirian Cina, tahu bahawa mereka berada dalam kategori persendirian di bawah sistem pendidikan kebangsaan yang tidak menawarkan tempat kepada mereka di pusat pengajian tinggi awam negara ini.”

Katanya, jumlah tempat di 20 pusat pengajian tinggi awam adalah terhad dan mesti diberikan kepada pelajar yang mengikuti sistem persekolahan kerajaan.

Beliau berkata, langkah mengiktiraf UEC adalah tidak adil kepada pelajar STPM, terutama mereka yang berasal daripada sekolah Cina yang mengikuti sistem pendidikan awam negara.

UEC yang diperkenalkan 40 tahun lalu, adalah sijil tamat belajar yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina di Malaysia.

Ia mendapat pengiktirafan terhad sebagai kelayakan masuk di Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang, tetapi tidak diiktiraf di peringkat kebangsaan sebagai kelayakan masuk ke pendidikan universiti dan permohonan perkhidmatan awam.

Ahli akademik, Shamsul Amri Baharuddin berkata, kandungan subjek Bahasa Malaysia dan Sejarah di sekolah tersebut mestilah selari dengan silibus kebangsaan sekiranya UEC hendak diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia dan kerajaan persekutuan.

“Isu pembiayaan adalah perkara berbeza sama sekali. Ia terserah pada kerajaan yang memerintah. Ia adalah keputusan politik yang tidak dipandu oleh rasional akademik yang jelas,” katanya kepada FMT.

Pada masa sekarang, kata Shamsul, UEC adalah seperti “bola politik yang disepak oleh 2 pasukan yang berlawanan” dan penyokong mereka.

“Ia menggambarkan hubungan politik semasa dalam politik Malaysia dan hubungan antara kaum.

“Bukan sahaja agama dan kaum dipergunakan untuk tujuan politik. Ia juga berkait dengan kaum dan pendidikan, satu lagi isu yang mengundang pertikaian di negara kita,” katanya.