Zuraida mahu PKR letak calon wanita dalam PRK Rantau

Naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata, beliau mempunyai sekurang-kurangnya 3 nama calon wanita yang boleh diketengahkan kepada pimpinan parti.

PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin hari ini mengulangi pendiriannya sebelum ini agar parti itu meletakkan calon wanita untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau yang akan diadakan kelak.

Zuraida berkata, beliau mahu calon wanita bertanding dalam PRK Rantau kerana mahu mengangkat agenda golongan itu.

“Saya akan minta agar kali ini diberikan peluang kepada calon wanita untuk bertanding memandangkan Negeri Sembilan adalah negeri yang mengamalkan adat pepatih yang mengutamakan wanita dalam keluarga.

“Dah berapa PRK tak ada wanita (bertanding), kali ini saya (akan) minta wanita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di sini hari ini.

Semasa hari pencalonan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 28 April lalu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi itu selepas satu-satu pencabarnya, Dr Streram Sinnasamy gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tidak memiliki pas SPR.

Pakar bius itu kemudiannya memfailkan petisyen di mahkamah pada 23 Mei lalu, bagi memohon satu PRK diadakan di kerusi terbabit kerana mendakwa pemenangnya tidak dipilih secara sah.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi itu tidak sah dan terbatal, selepas Hakim Datuk Azimah Omar membenarkan petisyen yang difailkan oleh Dr Streram.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengesahkan penghakiman Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 November lalu dan mengarahkan PRK Rantau diadakan.

Panel 5 hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, Dr Streram mempunyai locus standi untuk memfailkan petisyen, walaupun beliau tidak dibenarkan menyerahkan kertas pencalonan.

Zuraida sebelum ini pernah menyuarakan bantahannya agar Dr Streram tidak dicalonkan semula bagi PRK Rantau dan sebaliknya calon wanita diketengahkan.

Mengulas lanjut, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pihaknya mempunyai sekurang-kurangnya 3 nama calon wanita yang boleh diketengahkan kepada pimpinan parti.

“Ada 2, 3 nama saya boleh ketengahkan, yang berkaliber dan mampu untuk menggalas tugas wakil rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, karekter calon yang akan diketengahkan olehnya mempunyai naluri untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Ada naluri untuk berkhidmat kepada rakyat dan mudah didekati.

“Walaupun tak boleh menyelesaikan masalah, tapi mudah didekati. Itu sudah cukup untuk melunakkan hati rakyat,” katanya.