Maszlee minta badan pendidikan Islam bantu sekolah agama, tahfiz kekal relevan

Delegasi Mappim yang diketuai Mohd Zai Mustafa (duduk, 2 dari kanan) menyerahkan resolusi Kolokium Memperkasakan Pendidikan Islam kepada Maszlee Malik (duduk, 2 dari kiri) dalam kunjungan hormat semalam.

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik meminta Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Kluster Pendidikan Majlis Amal Islami (Maim) di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), membantu sekolah agama rakyat serta tahfiz untuk kekal dalam kerangka pendidikan kebangsaan.

Katanya, antara usaha itu termasuk menghantar pelajar tahfiz ke sekolah harian dan menjalin kerjasama dengan politeknik dan kolej komuniti bagi meningkatkan kemahiran pelajar sekolah agama.

Selain itu, beliau juga meminta Mappim mempelawa sekolah Islam antarabangsa bergabung untuk mewujudkan jalinan lebih luas.

“Saya juga meminta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia memainkan peranan bagi melatih guru-guru sekolah agama rakyat dan institusi tahfiz demi meningkatkan kemahiran pedagogi dan kepemimpinan sekolah,” katanya di Facebook Kementerian Pendidikan.

Sekretariat Mappim, Gabungan NGO Pendidikan Islam Malaysia mengadakan kunjungan hormat ke atas Maszlee di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Delegasi Mappim diketuai Pengerusi Sekretariatnya, Mohd Zai Mustafa.

Maszlee menyarankan sekolah agama didaftarkan supaya dana dapat disalurkan dengan berkesan, diuruskan dengan beramanah dan berintegriti, di samping memudahkan proses pengauditan.

Dalam pada itu, Mappim yang dianggotai lebih 50 NGO mewakili sekolah agama rakyat dan tahfiz menyokong penuh inisiatif Maszlee dan Kementerian Pendidikan.

Zai berkata, Mappim akan membantu Kementerian Pendidikan, Yadim dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelaraskan data sekolah agama di seluruh negara.

“Data-data itu penting untuk menyalurkan bantuan kepada semua sekolah agama di Malaysia,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Mappim turut membentangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Islam 2020 hingga 2030 untuk pertimbangan Kementerian Pendidikan.

Resolusi Kolokium Memperkasakan Pendidikan Islam yang berlangsung pada 28 Januari lalu, turut diserahkan kepada Maszlee.