Pengeluar mainan AS cadang pindah kilang dari China akibat perang perdagangan

Hasbro, pengeluar utama mainan dunia, merancang mengurangkan jumlah produk dikeluarkan di China kepada 60% pada 2020 dan pemindahan beberapa kilangnya ke AS, Mexico, Vietnam dan India. (Gambar AFP)

HANOI: Beberapa syarikat pengeluaran barangan mainan kanak-kanak dari Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi di China bercadang memindahkan kilang mereka ke pasaran lain, termasuk Vietnam, ekoran bimbang dengan kemelut perdagangan antara kedua-dua negara, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Sesetengah syarikat mengatakan jika produk dihasilkan di AS, harga mainan 5 kali lebih mahal dan sudah tentu pengguna tidak akan membelinya.

Langkah AS mengenakan cukai 25% ke atas bahan mentah akan menyebabkan syarikat mainan mungkin gulung tikar atau terpaksa mengurangkan pekerja.

Pakar berpendapat perang perdagangan antara 2 negara ekonomi terbesar dunia itu mengakibatkan pengeluar mainan kanak-kanak beralih ke pasaran lain, selain faktor peningkatan kos di China.

Hasbro, pengeluar utama mainan dunia, merancang mengurangkan jumlah produk dikeluarkan di China kepada 60% pada 2020, berbanding 69% pada 2018 dan 86% pada 2012. Ia juga merancang pemindahan beberapa kilangnya ke AS, Mexico, Vietnam dan India.

Menurut data organisasi penyelidikan pasaran Euromonitor International, sektor pembuatan mainan di Indonesia, Malaysia dan Vietnam mencatatkan pertumbuhan 2 angka dari 2012 hingga 2017.