PH tak jangka hutang Felda cecah RM8 bilion, kata Azmin

Azmin Ali berucap dalam ceramah PH di Kampung Rinching Hilir di Semenyih, malam tadi yang turut dihadiri Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (bersongkok hitam).

SEMENYIH: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menjangkakan hutang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebanyak RM8 bilion.

Katanya, PH menyokong usaha bekas perdana menteri, Tun Abdul Razak Hussein membuka tanah kerajaan bagi membantu meningkatkan kuasa ekonomi peneroka Felda.

Bagaimanapun, katanya, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan anak perdana menteri ke-2 Malaysia itu, bertindak menswastakan Felda.

“Pengerusinya (semasa zaman Barisan Nasional) Melayu, lembaga pengarah Melayu…bukan Melayu biasa, tapi Melayu Umno.

“Lihat sahaja saham Felda Global Ventures (FGV) sekarang, daripada RM4.70 merudum kepada 30 sen hingga 40 sen sahaja,” katanya ketika berucap di ceramah Pakatan Harapan di Kampung Rinching Hilir di sini, malam tadi.

Pada 9 Ogos tahun lalu, Azmin dilaporkan berkata, Felda sedang mengalami masalah aliran tunai amat kritikal akibat kelemahan tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, hutang Felda berjumlah RM8.025 bilion adalah legasi kepimpinan terdahulu akibat terlalu banyak campur tangan politik dalam urus tadbir.

Susulan itu, katanya, Felda akan menjual aset tidak strategik sebagai pelan pemulihan untuk mengurangkan beban hutang mencecah RM8 bilion, termasuk aset bukan strategik di Sabah, Sarawak dan London yang dijangka menyumbang RM2.2 bilion kepada Felda.

Bagaimanapun, Najib pada 18 Oktober lalu dilaporkan berkata, penjualan aset Felda tidak dapat menyelesaikan masalah aliran tunai, sebaliknya beliau mencadangkan kerajaan PH memberi peruntukan kewangan kepada Felda.

Katanya, penjualan aset bukan penyelesaian jangka panjang dan akan memberi kesan negatif kepada Felda, khasnya jika kadar pulangan jualan lebih rendah daripada kadar faedah hutang Felda.

Beliau berkata, tidak keterlaluan kerajaan membantu peneroka Felda kerana sudah mengaut pelbagai hasil dan cukai daripada sektor minyak sawit.

Dalam perkembangan lain, Azmin yang juga naib presiden PH berkata, keputusan mencalonkan Dr Streram Sinnasamy untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau belum diputuskan.

“Belum diputuskan, walaupun kerusi ini secara tradisinya diwakili PKR, namun kita sentiasa mengambil sikap muafakat dalam PH untuk memastikan calon itu adalah PH,” kata timbalan presiden PKR itu sambil menambah perkara itu akan dibincangkan Majlis Presiden PH.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengarahkan PRK diadakan bagi DUN Rantau, selepas menolak rayuan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangannya pada pilihan raya umum ke-14 lalu, terbatal dan tidak sah.