PPBM datang sebab orang Sabah mahukannya, kata Upko

KOTA KINABALU: Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) tidak menentang kemasukan PPBM ke Sabah tetapi mahu rakyat Sabah menilai sendiri kesan tindakan tersebut.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Naib Presiden Ewon Benedick percaya pemimpin PPBM sedar sentimen dalam kalangan parti sekutu.

Bagaimanapun, seperti yang dikatakan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, tiada sesiapa boleh halang PPBM melebarkan sayapnya, katanya.

“Kita tahu, akhirnya mereka akan datang sebab orang Sabah mahukan mereka. Ia seperti apa yang berlaku dengan Umno satu masa dahulu. Pemimpin PPBM tidak mahu datang tapi orang Sabah mahukan mereka di sini.

“Jadi, rakyat Sabah perlu fikir dan nilai sendiri perkara ini,” katanya.

Secara peribadi, beliau lebih suka kerajaan negeri ditadbir oleh parti-parti tempatan.

Sabah kini diperintah Warisan bersama Upko dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan DAP.

Apa pun, katanya, adalah hak wakil-wakil rakyat tertentu bersama penyokong mereka untuk mengundang PPBM ke Sabah.

“Yang penting kita mahu pentabiran kerajaan negeri berada dalam keadaan harmoni dan untuk menjamin kita mempunyai perhubungan baik dengan kerajaan persekutuan.

“Kita gesa kerajaan perekutuan tunaikan janji menambah royalti minyak dan kembalikan hak kita dalam Perlembagaan Persekutuan seperti mendapat balik 40% pulangan bersih daripada hasil persekutuan ke atas Sabah,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini berpeluang membuktikan beliau mampu memberikan kepada Sabah apa yang beliau gagal lakukan semasa menjadi perdana menteri ke-4 dulu.