Amanah: Dakwaan undi tak percaya terhadap Dr M untuk ganggu fokus PH

Mohamad Sabu berkata, tiada usaha untuk melakukan undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad di Parlimen.

PETALING JAYA: Presiden Amanah, Mohamad Sabu hari ini menolak spekulasi berhubung komplot menggulingkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi undi tidak percaya di Parlimen oleh parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, beliau menyalahkan parti lawan sengaja menyebarkan khabar angin itu untuk menggugat kestabilan dan mengganggu fokus kerajaan PH yang berusaha mensejahterakan hidup rakyat.

Menteri pertahanan itu juga percaya spekulasi itu direka untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada siasatan dan pendakwaan ke atas pemimpin mereka serta krisis kepimpinan dihadapi parti lawan.

“Tidak timbul langsung soal undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir.

“Amanah dan parti-parti komponen lain dalam PH sentiasa teguh di belakang Dr Mahathir dalam usaha melakukan reformasi menyeluruh dan menambah baik tadbir urus negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dipetik Malaysiakini sebagai mendakwa 2 parti komponen PH mungkin merancang menyingkirkan Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, PAS berikrar menyokong Dr Mahathir dalam pertemuan di Yayasan Al-Bukhary, Jumaat lalu dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana parti itu mendapati ada yang tidak kena dengan cara Mahathir bercakap mengenai sekutu PH.

Katanya, dakwaan Dr Mahathir mengenai persetujuan bertulis yang ditandatanganinya, sebenarnya draf ikrar menyokong pengerusi PPBM itu, jika parti komponen PH melakukan undi tidak percaya terhadapnya.

Sementara itu, Mohamad menyeru ahli Amanah terus menumpukan usaha menambah keahlian parti itu dan berusaha memastikan calon PH menang dalam pilihan raya kecil Semenyih pada 2 Mac ini.