Australia tolak permohonan suaka politik Sirul

PETALING JAYA: Australia menolak permohonan suaka politik Sirul Azhar Umar, di mana bekas anggota polis yang terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu akan dihantar pulang ke Malaysia jika Putrajaya memansuhkan hukuman mati.

Menurut Perbadanan Penyiaran Australia, Sirul membawa kesnya untuk memohon suaka politik kepada Tribunal Rayuan Pentadbiran di Sydney.

Memetik rakan sekutu Sirul yang enggan dinamakan, ia berkata tribunal itu menolak tuntutan awalnya kerana kesalahan itu bukanlah jenayah politik.

Rayuan Sirul ditolak pada Isnin, atas alasan yang sama.

Sirul merupakan salah seorang daripada 2 lelaki yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.

Dia mencari perlindungan di sebuah pusat imigresen di Sydney, di mana Canberra mengatakan undang-undang Australia tidak membenarkan pengusirannya kerana Sirul berdepan hukuman mati di Malaysia.

Undang-undang Australia melarang ekstradisi individu untuk berdepan hukuman mati di negara asalnya.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata Kabinet akan membuat keputusan tidak lama lagi untuk membawa cadangan pemansuhan hukuman mati ke Parlimen.

Beliau berkata keputusan itu akan dibuat sebelum persidangan Dewan Rakyat bulan depan, dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Kabinet memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan mulai Oktober tahun lalu.

Semua hukuman mati ditangguhkan sehingga pemansuhannya berkuatkuasa.

Kabinet juga menimbang mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.