Bekas ketua PR Najib didakwa kerana pengubahan wang

Paul stadlen. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang warga British yang pernah diupah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk kerja-kerja perhubungan awam didakwa kerana pengubahan wang berhubung dengan 1MDB.

Sumber mengesahkan bekas pengarah urusan Apco Worldwide Malaysia, Paul Stadlen didakwa tanpa kehadirannya melibatkan RM15 juta.

FMT juga difahamkan tindakan akan diambil terhadap seorang peguam kanan yang dikaitkan dengan pentadbiran lepas.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada November berkata ia sedang menjejaki Stadlen, yang dipercayai sebahagian daripada pasukan komunikasi Najib di Jabatan Perdana Menteri.

Para pegawai berkata Stadlen dikehendaki untuk disoal berhubung dengan siasatan 1MDB.

Laman Sarawak Report sebelum ini mendakwa Stadlen ditawarkan AS$420,000 untuk tempoh 6 bulan untuk menasihati pentadbiran Najib.

Bekas syarikatnya, Apco menjadi perhatian apabila didedahkan firma PR itu dibayar sejumlah wang yang besar untuk mempromosikan kempen kerajaan, termasuk inisiatif 1Malaysia.

Ia kemudian dilepaskan daripada peranan itu.

SPRM mengesahkan Stadlen meninggalkan Malaysia sebelum pilihan raya 9 Mei lepas.

Menurut akhbar British, The Daily Mail, dia dipercayai terbang ke London sebelum menuju ke destinasi yang tidak diketahui.