Calon PH di Semenyih dan kelayakan akademiknya

Umum mengetahui pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih dijalankan akibat penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia akibat serangan jantung. Bagi PRK kali ini, Pakatan Harapan (PH) meletakkan Muhammad Aiman Zainali yang juga menantu Bakhtiar sebagai calon.

PH mempertaruhkan anak muda berumur 30 tahun yang mewakili PPBM. Namun baru beberapa hari diumumkan sebagai calon, Aiman tidak terlepas daripada serangan berkenaan kelayakan akademiknya.

Baru-baru ini, warga internet dapat menghidu penipuan Aiman di akaun Linkedin.com miliknya. Melalui biodata Linkedin.com, beliau mendakwa memiliki kelayakan akademik Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang “Mobile Communication” pada 2012 hingga 2016.

Namun selepas penipuan ini terkantoi, Aiman memberi respon mengenai isu ini. Tetapi malangnya alasan yang diberikan adalah “terlupa” untuk kemaskini akaun tersebut dan hanya meletakkan jangka masa tamat belajar. Bagaimanapun, saya boleh kategorikan alasan ini sebagai alasan “falasi” dan basi.

Persoalannya, bagaimana seseorang itu belum lagi diiktiraf memiliki sesuatu kelayakan tetapi sudah meletakkannya di dalam biodata?

Perkara biasa jika seseorang lupa mengemaskini kelayakan daripada peringkat rendah ke peringkat yang lebih tinggi. Tetapi berbeza jika seseorang itu lupa untuk padamkan kelayakan yang belum pernah dimilikinya dan kemaskini kepada peringkat yang sedia ada. Pendek kata, lupa kemaskini dan lupa padam adalah 2 perkara yang berbeza. Tidakkah ini tindakan menipu kelayakan akademik?

Kini dalam risalah biodata calon PRK Semenyih, Aiman mengakui dirinya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, iaitu bidang berlainan dari apa yang Aiman letakkan pada akaun Linkedin.com.

Bagi pendapat saya, jika benar Aiman masih belajar, penduduk di Semenyih perlu tolak calon ini untuk menjadi wakil rakyat. Lebih baik, biarkan Aiman memberi fokus sepenuhnya terhadap pengajiannya terlebih dahulu. Tamatkan dahulu pengajian, kemudian barulah kembali aktif dalam dunia politik.

Takut-takut nanti bila sudah jadi wakil rakyat ada pula kenyataan ‘terlupa’ mahu tunaikan janji. Perkara ini lebih bahaya daripada terlupa kemaskini biodata.

Selain itu, kita bimbang jika pelantikan Aiman sebagai wakil rakyat akan menganggu fokus kepada pengajiannya. Jangan pula, bila sudah jadi wakil rakyat, akhirnya Aiman akan jadi seperti wakil rakyat lain yang tidak habis belajar. Malah ada yang segelintirnya sehingga sanggup menipu mengenai kelayakan akademik yang mereka miliki semata-mata ingin dipandang tinggi dalam dunia politik.

Jadi lebih baik, penduduk di Semenyih mengangkat calon yang lebih berpengalaman dan lebih layak seperti calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi untuk menerajui Semenyih dengan lebih baik. Kesimpulannya, penduduk Semenyih perlu tolak Aiman demi masa depannya yang lebih cerah.

Dhia Hani ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.