Debat pra pilihan raya buang masa, kata penganalisis

Awang Azman Awang Pawi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis tidak percaya debat ketika kempen pilihan raya memberi nilai, dengan mendakwa ia tidak begitu berkesan kepada keputusan pilihan raya dan hanya buang masa.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya mengambil debat kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Januari lalu sebagai contoh, yang menyaksikan penyertaan hanya 3 daripada 4 calon yang bertanding.

Katanya, debat ketika kempen juga tidak menarik hadirin seramai yang diharapkan.

“Walaupun disiarkan secara langsung di talivisyen nasional, kesannya tidak dirasai kerana ia hanya menarik penonton luar
yang ingin dapatkan maklumat lebih mengenai pilihan raya kecil tersebut.

“Perdebatan tidak menarik minat mereka yang sudah mengetahui keadaan di situ,” beliau memberitahu FMT.

Sebelum ini, pemerhati pilihan raya, Bersih 2.0, mencadangkan debat diadakan dalam kalangan 4 calon PRK Semenyih, tetapi sambutannya tidak menggalakkan langsung.

Hanya calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul menyambut cadangan tersebut, sementara Muhammad Aiman Zainali, dari Pakatan Harapan (PH) dan Zakaria Hanafi dari Barisan Nasional (BN) enggan menyertainya.

Awang Azman berkata, debat yang begitu boleh menarik perhatian dalam talian tetapi tidak mencerminkan sokongan sebenar kepada calon-calon pilihan raya.

“Debat biasanya bagus, tetapi lebih dari sudut budaya dan amalan demokrasi untuk bersuara,” katanya.

Tanpa penyertaan semua calon, katanya, debat hanya membuang masa memandangkan perbincangan yang diberlangsung di kalangan pesertanya tidak menyeluruh.

“Lebih baik gunakan masa berkempen dari rumah ke rumah atau bertemu mata dengan pengundi,” katanya.