Guru besar ponteng sejak buka sekolah disiasat

TAWAU: Jabatan Pendidikan Sabah akan menyiasat dakwaan seorang guru besar di sebuah sekolah rendah yang ponteng kerja sejak sekolah dibuka awal tahun ini.

Pengarah Mistirine Radin berkata siasatan akan dijalankan berdasarkan banyak aduan yang diterima pihaknya termasuk dari wakil rakyat di kawasan terbabit berkaitan ketidakhadiran guru besar tersebut.

“Jika aduan berkenaan didapati benar, jabatan akan mengambil tindakan yang tegas termasuk mengenakan tindakan tatatertib,” katanya kepada pemberita di satu wacana hari ini.

Mistirine berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu memantau dan menyiasat segera aduan berkaitan guru tidak hadir bertugas.

Sementara itu, beliau memberi jaminan tiada guru di Sabah akan tercicir daripada kenaikan pangkat.

“Saya akan minta pegawai PPD melihat perkara tersebut jika ada keciciran kenaikan pangkat, sekiranya guru ini layak untuk naik pangkat saya akan pastikan tiada keciciran,” katanya.

Lebih 500 pengetua, guru besar serta penolong kanan sekolah di Tawau menghadiri wacana hari ini bagi mendengar taklimat mengenai sektor pengurusan sekolah, pengurusan akademik termasuk naratif amalan pendidikan.