Kerajaan setuju penubuhan RCI mengenai badan kehakiman

PETALING JAYA: Jemaah menteri bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RC) mengenai badan kehakiman, kata sumber kepada FMT.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai badan siasatan itu tidak lama lagi, katanya.

“Kabinet hari ini memberi lampu hijau kepada penubuhan RCI mengenai badan kehakiman.

“Peguam negara akan diminta merangka terma-terma rujukan dan mengesyorkan keanggotaan RCI itu,” kata sumber kepada FMT.

Pada 14 Februari lepas, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer memfailkan afidavit mengenai dakwaan salahlaku oleh hakim-hakim yang tidak dinamakan.

Dokumen tersebut dibuat bagi menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo ke mahkamah, memohon Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum diisytiharkan gagal dalam menjalankan tugas apabila gagal menyempurnakan siasatan terhadap 2 kes campurtangan badan kehakiman.

Satu daripada kes itu adalah kes hasutan terhadap bapa Sangeet, mendiang Karpal Singh, sementara satu lagi kes membabitkan Hamid, yang mendakwa beliau ditegur seorang hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza dalam kes penukaran agama 3 anak M Indira Gandhi.

Sejak itu, Badan Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak, Persatuan Patriot Kebangsaan, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Lawyers for Liberty dan Bersih 2.0 membuat seruan sama.

Hamid juga menggesa RCI ditubuhkan dalam afidavitnya. Beliau juga berkata gesaan menubuhkan RCI itu dibuat atas permintaan Sangeet, dan dia berbuat demikian mengikut sumpah jawatannya iaitu menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan November lalu, Malanjum dilaporkan berkata, pihak kehakiman terpaksa menggantung siasatan dalam kes Karpal disebabkan siasatan polis sedang berjalan dan menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, siasatan ke atas kes Karpal juga tidak dapat dijalankan kerana 3 hakim Mahkamah Rayuan masih berkhidmat.

Mengenai kes ke-2, Malanjum berkata, siasatan terhadap dakwaan salah laku tidak dapat dijalankan kerana hakim terbabit sudah bersara.