Kes Najib bantah pelantikan Sri Ram disambung Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Kes bantahan Datuk Seri Najib Razak terhadap pelantikan Datuk Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya utama dalam kes 1MDB akan disambung Jumaat ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah, Collin Lawrence Sequerah dijangka membuat keputusan hari ini namun hujahan lanjut perlu didengar daripada pihak peguam Najib dan timbalan pendakwaraya, Ahmad Akram Gharib.

Harvinderjit Singh yang mewakili Najib berkata, Peguam Negara Tommy Thomas tidak boleh melantik Sri Ram kerana percanggahan kepentingan.

“Thomas tidak boleh melantik Sri Ram kerana dia terlibat dengan penyiasatan dan pada masa yang sama mengetuai pendakwaan terhadap Najib.

“Ini akan menyebabkan Sri Ram tampil di mahkamah dan akan mempunyai satu pemikiran bahawa Najib sudah pun dianggap bersalah,” katanya kepada mahkamah.

Peguam Tan Sri Shafee Abdullah pula bersetuju dengan pandangan hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Azizah Nawawi, meskipun kesnya ditolak ke Mahkamah Tinggi Jenayah.

“Walaupun prosedur 2 mahkamah ini berlainan, Azizah menganggap keputusan Thomas untuk tidak mengemukakan surat pelantikan Sri Ram sebagai tidak masuk akal.

“Takkan hanya kerana pemohon tidak mempunyai hak untuk meminta peguam negara mengemukakan surat tersebut, sedangkan bukti surat perlu dikemukakan di mahkamah. Mesti ada sebab munasabah dari segi undang-undang,” katanya.

Najib kini menghadapi 42 pertuduhan berkaitan dengan 1MDB, bekas anak syarikatnya, SRC International, laporan audit 1MDB yang diubah dan penyalahgunaan dana kerajaan berkaitan International Petroleum Investment Company (Ipic).

Shafee pula menghadapi 4 pertuduhan atas deposit RM9.5 juta dalam akaun banknya.

Mereka cuba mencabar keputusan Thomas melantik Sri Ram untuk mengetuai pendakwaan dalam kes-kes mereka.

Sri Ram dilantik sebagai pendakwa fiat untuk mengetuai kajian kertas siasatan, tuduhan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang dikenakan pertuduhan berkaitan 1MDB.

Peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk V Sithambaran juga dilantik sebagai pendakwa fiat bagi kes-kes RM42 juta dan RM47 juta dalam kes SRC International.

Najib mendakwa dalam afidavitnya terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa fiat.

Sri Ram juga terlibat dalam mendakwa isteri Najib, Datuk Seri Rosmah Mansor, Shafee, bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar, bekas pengarah eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua perisikan Datuk Hasanah Ab Hamid dan bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Kes Najib disambung Jumaat ini manakala kes Shafee akan disebut minggu hadapan.