Mahkamah Tinggi Sivil tolak kes Najib terhadap Sri Ram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Sivil hari ini menolak kes bantahan Datuk Seri Najib Razak terhadap pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan diminta buat bantahan di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, hakim Datuk Azizah Nawawi menganggap kes itu mempunyai sebab yang kuat untuk dibantah tetapi membuat keputusan untuk menolaknya.

“Mahkamah kata kes ini mempunyai alasan yang kukuh untuk dibantah tetapi mereka melihatnya atas dasar kesesuaian.

“Jadi kami diminta meneruskan bantahan di Mahkamah Tinggi Jenayah yang dilihat lebih sesuai,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi.

Kes diteruskan di Mahkamah Tinggi Jenayah yang mana Hakim Collin Lawrence Sequerah akan mendengar kes bantahan untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan terhadap kes 1MDB.

Najib kini menghadapi 42 pertuduhan berkaitan dengan 1MDB, bekas anak syarikatnya, SRC International, laporan audit 1MDB yang diubah dan penyalahgunaan dana kerajaan berkaitan International Petroleum Investment Company (Ipic).

Sementara itu, Shafee menghadapi 4 pertuduhan atas deposit RM9.5 juta dalam akaun banknya.

Mereka cuba mencabar keputusan Peguam Negara Tommy Thomas melantik Sri Ram untuk mengetuai pendakwaan dalam kes-kes mereka.

Sri Ram dilantik sebagai pendakwa fiat untuk mengetuai kajian kertas siasatan, tuduhan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang dikenakan pertuduhan berkaitan 1MDB.

Peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk V Sithambaran juga dilantik sebagai pendakwa fiat bagi kes-kes RM42 juta dan RM47 juta dalam kes SRC International.

Najib mendakwa dalam afidavitnya terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa fiat.

Sri Ram juga terlibat dalam mendakwa isteri Najib, Datuk Seri Rosmah Mansor, Shafee, bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar, bekas pengarah eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua perisikan Datuk Hasanah Ab Hamid dan bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.