Makin ramai penduduk Sarawak tak suka parti Semenanjung, kata penganalisis

Awang Azman Awang Pawi berkata, 75% penduduk Cina dan 60% masyarakat Bidayuh masih menyokong PH.

KUCHING: Kemasukan rasmi PPBM ke Sabah minggu lalu hanya menambah sentimen negatif penduduk Sarawak terhadap parti Tanah Melayu, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata penduduk Sarawak tidak selesa dengan tindakan PPBM memungkiri janji dengan memasuki Sabah.

Langkah itu menyusul setelah PPBM mengembangkan sayapnya ke Sarawak pada 1 Disember lalu.

Menurut Awang Azman, keyakinan penduduk Sarawak terhadap Pakatan Harapan (PH) juga terhakis, susulan tindakan PPBM menerima bekas ahli Umno tanpa PH mencapai konsensus mengenainya.

Katanya, sebilangan besar penduduk Melayu, Melanau dan Iban tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan persekutuan PH sekian lama dan perkembangan terbaru politik tanah air hanya menambah sentimen itu.

“Sebagai contoh, masyarakat Iban tidak senang dengan kerajaan PH kerana tidak ada wakil mereka di dalam jemaah menteri.”

Beliau berkata, penduduk Sarawak terjejas kerana peruntukan persekutuan untuk negeri itu dikurangkan.

“Berasaskan kajian pasukan kami, antara 65% hingga 80% pengundi Sarawak menyokong GPS, iaitu gabungan parti tempatan yang menerajui negeri ini.

“Kajian 3 bulan itu yang bermula Oktober lalu mendapati 85% pengundi Melayu, 90% Melanau dan 60% hingga 70% kaum Iban menyokong GPS,” katanya.

Bagaimanapun, 75% penduduk Cina dan 60% masyarakat Bidayuh masih bersama PH.

Awang Azman berkata, sokongan berterusan orang Bidayuh kepada PH mungkin berkait faktor sebilangan besar mereka menetap di bandar dan pinggir bandar.

Katanya, kewujudan ramai graduan Bidayuh juga memainkan peranan mempengaruhi orang Bidayuh menyokong PH.