Melayu Pulau Krismas bukan lagi warganegara kelas ke-2

Johara Sujangi (kanan) selepas bersekolah mahu mengaji sains. Hazira pula mahu jadi seorang ahli psikologi saraf. (Gambar ehsan ABC News)

KUALA LUMPUR: Orang-orang Melayu yang dibawa ke Pulau Krismas, Australia sebagai buruh kontrak oleh British pada kurun lalu kini melakar masa depan sendiri.

Beberapa dekad lalu, mereka seperti orang-orang Cina yang juga dibawa ke situ untuk mengerjakan lombong-lombong fosfat, dilayan seperti warganegara kelas ke-2.

Tetapi hari ini, pelajar seperti Hazira Hamdan bercita-cita menjadi seorang ahli psikologi saraf, menurut laporan media Australia, ABC News.

“Kalau saya terfikir nak jadi ahli psikologi saraf, saya tak fikirkan tentang faktor yang mereka tidak akan memilih saya kerana saya orang Islam,” katanya, merujuk kepada rasisme yang dialami nenek moyangnya.

“Saya hanya fikirkan halangan-halangan biasa yang orang-orang lain juga hadapi. Keadaan sudah banyak berubah berbanding ketika ibu bapa saya bersekolah,” katanya.

Kawan Hazira, Johara Sujangi merancang untuk mengaji sains di universiti di luar pulau itu, salah satu kawasan Australia yang paling terpencil dan terkenal dengan pusat tahanan imigresen.

Perdana Menteri Scott Morrison minggi ini mengumumkan pusat tahanan itu, yang ditutup sementara pada Oktober, akan dibuka semula.

Laporan itu berkata Hazira dan Johara daripada generasi Z orang-orang Melayu pulau yang melangkah dengan yakin untuk membina dunia sendiri selepas 1 kurun sejak pulau itu didiami.

“Keadaan sudah berubah. Kami tak alami rasisme. Tak pernah.

“Tetapi ibu bapa saya ada cerita (mengenai rasisme),” kata Johara, yang sekarang di tahun-tahun atas sekolah menengah.

Gadis-gadis Melayu di sekolah-sekolah pulau itu berada di hadapan usaha membawa perubahan progresif, kata Sarah Faulkner, seorang guru di sana.

Sebagai contohnya, seorang gadis Melayu yang menyampaikan ucapan mengenai pemakaian tudung menjadi juara pertandingan debat serantau pada 2015.

“Sepanjang 2 tahun lalu, kami melihat ramai gadis muda Melayu yang mempunyai cita-cita pendidikan yang tinggi akan memasuki universiti,” katanya menurut laporan itu.

Bagaimanapun, seorang pemimpin agama Islam tempatan, Greg McIntosh memberitahu ABC kesan-kesan rasisme masih ada di pulau itu.

McIntosh berharap dapat menanam rasa bangga dan matlamat dalam kalangan belia Melayu dengan mengajarnya mereka Islam supaya mereka boleh mengambil tempat mereka dalam Australia moden.

Laporan ABC berkata pekerja-pekerja Melayu dan Cina dibawa peneroka British ke pulau itu pada kurun ke-20 sebagai buruh kontrak di lombong-lombong dan sekian lama dilayan tidak sama rata.

Hanya pada 1980-an usaha bersepadu untuk berpersatuan dan menuntut gaji yang adil membawa kepada perubahan dalam kehidupan mereka.

Menurut laporan itu, pekerja berketurunan Asia di pulau itu sejak sekian lama dilayan seperti warganegara kelas kedua, dan dibayar upah lebih rendah berbanding rakan-rakan sekerja yang berkulit putih.

Semua itu berubah pada 1979 apabila seorang pendatang warga British, Gordon Bennet, mengambil alih kesatuan pekerja Pulau Krismas. Beliau menuntut pekerja Melayu dan Cina dibayar upah sama seperti pekerja kulit putih.

Bennet membawa delegasi pekerja Melayu dan Cina ke ibu negara, Canberra untuk berhujah dan apabila pihak berkuasa enggan menemui mereka, Gordon pastikan mereka berkhemah di taman parlimen Australia dan melancarkan mogok lapar di musim sejuk.

Apabila seorang pekerja Melayu pengsan kerana kelaparan, tuntutan mereka menarik perhatian media. Akhirnya, pihak berkuasa memberi perhatian dan upah pekerja berketurunan Asia yang tidak adil diganti dengan upah yang sama rata.