Menteri nafi tarik balik cadangan Jalan TAR jadi laluan pejalan kaki

Khalid Samad berkata, cara melaksanakan penutupan sebahagian Jalan TAR kepada kenderaan awam akan diumumkan seminggu sebelum 15 Mac ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menafikan laporan berita TV3 yang beliau menarik balik cadangan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai kawasan pejalan kaki.

“Apa yang saya katakan adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat penilaian terhadap cadangan untuk menjadikan Jalan TAR sebagai ‘Pedestrian Walk’. Buat masa ini, DBKL sedang mengkaji pilihan pelaksanaannya dan berbincang dengan semua pihak, khasnya yang terlibat secara langsung.

“Kita akan umumkan bentuk pelaksanaannya seminggu sebelum tarikh ditetapkan, iaitu 15 Mac ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau meminta TV3 menarik balik laporan tidak tepat itu dan memperbetulkannya.

Terdahulu, Khalid dilaporkan berkata, sebarang keputusan berhubung isu penutupan sebahagian Jalan TAR kepada kenderaan awam akan dimuktamadkan sebelum 15 Mac ini.

Keputusan itu akan dibuat berdasarkan maklumat balas pihak berkepentingan, terutamanya penjaja dan peniaga di sekitar Jalan Esfahan hingga Jalan Melayu.