Orang Asli desak henti pembalakan di Perak sehingga kes Kelantan selesai

Apam Yek berkata, Orang Asli di Gerik akan meneruskan sekatan laluan selagi tiada jalan penyelesaian dikemukakan kerajaan negeri.

PETALING JAYA: Orang Asli di Gerik, Perak mendesak semua aktiviti pembalakan di tanah adat mereka digantung sehingga perbincangan dengan kerajaan negeri dan saman Putrajaya terhadap kerajaan Kelantan akibat pencerobohan tanah masyarakat itu selesai.

Wakil penduduk Kampung Tasik Cunex, Apam Yek berkata, kerajaan persekutuan perlu berlaku adil kepada Orang Asli di Gerik yang turut berdepan isu pencerobohan tanah adat seperti di Gua Musang.

Beliau berkata, pihaknya sudah beberapa kali menghantar surat kepada menteri besar Perak dan Jabatan Perhutanan negeri sejak awal Januari lalu, namun tiada sebarang maklum balas.

“Memang kena hentilah kalau nak berlaku adil kepada Orang Asli, bukan hanya di Kelantan,” katanya kepada FMT sambil mendesak Putrajaya menyaman kerajaan Perak.

“Pihak pentadbiran kerajaan negeri kata kita bincang dengan baik, kita nak tahu cara baik macam mana? Kami sudah hantar surat sejak awal lagi, sebelum balak ditebang, kalau nak bincang cara baik, bukan tebang balak dulu baru ajak bincang, itu yang kita tak puas hati.”

Apam berkata, Orang Asli di Gerik akan meneruskan sekatan laluan sehingga kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian.

“Pembalakan masih berjalan, mereka hanya tebang pokok-pokok di tapak, mereka tidak boleh bawa keluar balak sabab kami buat sekatan.

“Ada tauke dan Jabatan Perhutanan minta kami buka sekatan untuk mereka keluarkan kayu yang sudah tebang, tapi apa yang kami tidak puas hati, aktiviti menebang masih berjalan, makin banyak kayu dilonggok.”

Seorang lagi wakil penduduk yang dikenali sebagai Ramsu Bujang berkata, Putrajaya bertindak berat sebelah dengan hanya menyaman kerajaan Kelantan pimpinan PAS, tetapi bukannya Perak yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).

“Tidak adil kalau Perak tidak disaman, memang alasannya di Gua Musang, mereka sudah lama buat ‘blockade’, tapi sekurang-kurangnya henti dulu pembalakan di Perak sehingga kes saman Kelantan selesai.”

Beliau berkata, seorang peguam meminta penduduk Orang Asli di Gerik tidak mempersoalkan tindakan Putrajaya menyaman Kelantan bagi mengelakkan ia merencatkan perjalanan kes itu.

“Kami memang tak faham soal kes mahkamah sangat, tapi kami nak aktiviti balak dihentikan sementara kes itu selesai.”

Pada 18 Januari lalu, Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan atas dakwaan menceroboh penempatan Orang Asli. Ia adalah saman pertama difailkan kerajaan persekutuan membabitkan hak tanah adat.

Putrajaya juga memohon injunksi menghalang syarikat swasta menceroboh tanah adat untuk aktiviti komersial.

Susulan itu, kerajaan Kelantan dilaporkan berkata, ia sedia menghentikan semua aktiviti pembalakan, jika kerajaan pusat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti dijanjikan sebelum ini.

Banjir lumpur

Ramsu berkata, Orang Asli bimbang pembalakan tidak terkawal akan menyebabkan banjir lumpur.

“Kalau berlaku banjir lumpur, kawasan tadahan air kami habis berkelodak, habis kami mahu minum apa?”

penduduk Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik mengadakan sekatan sejak 18 Januari lalu, bagi menghalang aktiviti pembalakan atas dakwaan kerajaan Perak menceroboh tanah adat dan penempatan mereka.

Bagaimanapun, Jabatan Perhutanan Perak menjelaskan aktiviti itu selaras kelulusan negeri dan tidak melanggar undang-undang.

Difahamkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan agensi kerajaan lain sudah menemui Orang Asli di Tasik Cunex Isnin lalu, untuk mendengar masalah dihadapi mereka.