Patriot gesa beku akaun, sekat dalang skandal tanah Kementah ke luar negara

Mohamed Arshad Raji.

PETALING JAYA: Kumpulan veteran tentera hari ini menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera terhadap dalang projek pertukaran tanah Kementerian Pertahanan (Kementah), susulan laporan akhir siasatan menunjukkan kehilangan ratusan juta ringgit akibat campur tangan politik dalam projek membabitkan tanah kerajaan.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semalam tidak menjawab banyak persoalan, termasuk identiti ahli politik terbabit dan jika ada pegawai tertinggi tentera terbabit dalam skandal itu.

“Akaun bank orang disyaki perlu dibekukan dan mereka perlu dilarang daripada meninggalkan negara.

“Jika pegawai tinggi tentera terbabit, walaupun mereka sudah bersara, tindakan perlu diambil terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu pertukaran tanah Kementah timbul selepas bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz menerusi satu surat terbuka kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 April 2018 mendakwa pemilikan lebih 40,000 hektar tanah Kementah dipindahkan kepada sebuah syarikat milik 3 individu tanpa tender terbuka, di bawah rancangan yang dibentangkan Najib pada 2008.

Beliau mendakwa semua tanah itu dipajakkan 40 tahun kepada syarikat terbabit untuk dibangunkan pelbagai projek komersial.

Bagaimanapun, Kementah menafikan pemindahan tanah persekutuan itu kepada syarikat terbabit.

Katanya, setiap projek pembangunan membabitkan aset tentera dilaksanakan syarikat berlainan dan tiada kaitan antara satu sama lain.

Semalam, Mohamad dilaporkan berkata, laporan akhir siasatan ke atas dakwaan salah laku di Kementah mendapati wujud campur tangan politik dan tiada tindakan wajar dalam 16 projek pertukaran tanah yang menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta.

Katanya, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang mendapati, terdapat 16 projek pertukaran tanah melibatkan 2,923 ekar tanah milik Kementah bernilai RM4.756 bilion dengan keseluruhan kos projek sebanyak RM4.886 bilion.

Mohamad berkata, kementeriannya akan membuat laporan polis dan SPRM untuk tindakan lanjut.