Peguam bergelar ‘Datuk’ ditahan terlibat pengubahan wang RM15 juta

Lelaki itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

PETALING JAYA: Seorang peguam bergelar “Datuk” ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dalam aktiviti membabitkan pengubahan wang haram bernilai RM15 juta.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan hari ini ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Menurut sumber, lelaki itu menerima wang tersebut melalui aktiviti haram menerusi beberapa keping cek bernilai RM15 juta antara 2014 hingga 2015.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan suspek dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok.

“Suspek akan menghadapi 2 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.

Azam juga mengesahkan individu terbabit adalah peguam bagi Barisan Nasional atau Umno.