Pemuda Umno: PH masih ‘bulan madu’ selepas 9 bulan memerintah

Shahril Hamdan yakin kepercayaan rakyat ada bersama BN selepas melihat dinamik pimpinan PH selepas menawan kerajaan pusat.

SEMENYIH: Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan membidas Pakatan Harapan (PH), mengatakan parti itu masih berbulan madu meskipun sudah 9 bulan menguasai kerajaan persekutuan.

“Jika anda seorang pemerhati yang neutral, saya terpegun untuk katakan mereka masih dalam suasana bulan madu walaupun sudah hampir 10 bulan memerintah,” katanya semasa berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Shahril berkata, sikap bulan madu PH terbukti dengan cara mereka menguruskan ekonomi dan ketiadaan konsistensi dalam apa yang diperjuangkan pemimpin parti itu.

“Semuanya terbukti dengan bagaimana mereka menguruskan ekonomi, visi ekonomi yang tidak jelas dan tiada konsistensi.

“Mula-mula kata ‘tidak’ untuk plastik penyedut minuman, sekarang perlombongan bauksit boleh pula?” katanya.

Jelas Shahril, beliau yakin kepercayaan rakyat ada bersama Barisan Nasional (BN) selepas melihat dinamik pimpinan PH selepas menawan kerajaan pusat.

Ditanya mengenai gaya berkempen PH di Semenyih, beliau berkata BN mampu mengatasi isu yang dibawa oleh PH.

“Saya lihat taktik untuk hanya fokus isu negeri sahaja (oleh calon PH) juga boleh menyerang semula mereka,” katanya.

Dengan mengambil contoh, kiriman Twitter Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari, baru-baru ini mengatakan rekod negeri itu sangat sempurna sebagai asas untuk dijadikan tawaran di PRK Semenyih, Shahril menafikan kenyataan itu.

Katanya, Amirudin seperti tinggal di “alam” lain sehingga tidak dapat melihat kegagalan tadbir urus negeri itu.

“Saya tak tahu di ruang angkasa mana dia (Amirudin) tinggal, 10 hingga 11 tahun ‘sempurna’ dengan rekod denggi tertinggi dalam semua negeri. Terlalu banyak masalah PBT (pihak berkuasa tempatan) apabila banyak gerai-gerai dihapuskan selepas 9 Mei, mungkin cara ini dia rasakan Selangor akan lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, calon PH Semenyih, Muhammad Aiman Zainali berkata, beliau tidak akan memfokuskan masalah dan isu nasional, sebaliknya menumpukan kepada isu setempat seperti kesesakan jalan raya dan pembinaan hospital untuk kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Shahril berkata, strategi itu ketinggalan, sambil berkata: “Sama ada isu nasional atau isu setempat, saya yakin BN boleh menang perdebatan di antara isu-isu tersebut.”

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan Aiman itu perlu lebih munasabah dan pihaknya belum melihat sebarang keperluan bagi pembinaan hospital di kawasan itu.

“Siapa pun boleh buat janji, tapi kami mengharapkan janji-janji itu lebih munasabah kerana pembinaan hospital bukan macam pembinaan mana-mana premis. Pada saya adalah lebih wajar kalau kita bercakap mengenai klinik kesihatan di situ,” kata Dzulkefly.

Mengulas mengenai kehadiran bekas perdana menteri di Semenyih, katanya, Datuk Seri Najib Razak dan sesiapa sahaja tokoh dalam BN layak untuk turun berkempen dan membantu jentera parti.

“Saya rasa tiada alasan negatif untuk menghalang perkara itu berlaku. Sesiapa sahaja yang datang, bekas perdana menteri atau bekas menteri lain, seperti Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, mereka datang untuk menarik sokongan,” katanya.