Pengurus besar PDC kongsi cerita berkhidmat bawah 4 ketua menteri

Kakitangan PDC menghadiahkan karikatur yang dilukis KC Lim kepada Rosli Jaafar (baju batik) di majlis selamat jalan hari ini.

GEORGE TOWN: Penjawat awam yang mengetuai agensi negeri Pulau Pinang terkaya hari ini menceritakan bagaimana beliau berkhidmat bawah 4 ketua menteri dan kerajaan berbeza dalam tempoh 29 tahun.

Datuk Rosli Jaafar, yang bersara hari ini sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-60 sebagai pengurus besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berkata, beliau mampu berkhidmat dengan lancar kerana kurang mengaitkan diri dengan politik.

Katanya, beliau bukan “yes man” dan berani menolak beberapa keputusan pengerusi badan itu sekiranya dirasai wajar.

“Kita kena dapatkan kepercayaan ketua menteri. Saya bukan orang parti. Saya cuma berkhidmat untuk kerajaan semasa. Sekiranya keputusan yang mereka buat itu baik, kita patuh tanpa menyoal.

“Sekiranya keputusan kerajaan mengenai sesuatu tidak baik, saya akan berundur. Kita tidak boleh jadi duri dalam daging,” katanya selepas diraikan di majlis selamat jalan oleh kira-kira 400 kakitangan PDC.

Walaupun beliau sudah bebas daripada segala tugasnya, beliau mengambil tanggungjawab atas segala tindakannya yang lepas.

“Tiadalah lagi perbincangan rancak dengan kakitangan setiap hari,” katanya, apabila ditanya mengenai perasaannya setelah bersara.

Dalam ucapan selamat tinggalnya, Rosli menceritakan serba sedikit kisah lamanya bersama ketua-ketua menteri Pulau Pinang, daripada Tun Lim Chong Eu, Tan Sri Koh Tsu Koon, Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow.

Rosli Jaafar merakam waktu keluar pada hari terakhirnya di PDC hari ini.

Beliau mengenang dan menghayati peristiwa-peristiwa itu kerana semua pengalaman itu memberi pengajaran kepadanya.

“Koh, sebagai seorang bekas pensyarah, selalu akan betulkan kesilapan nahu kami dan pastikan ayat kami betul. Ini membuat saya bercakap dan menulis dengan lebih baik.

“Lim bijak dalam perakaunan dan sangat bagus dengan matematik. Beliau bijak. Jadi, kami pun jadi cekap dengan nombor.

“Chow pula seorang yang sangat merendah diri yang kita semua boleh contohinya. Maknanya, setiap ketua menteri itu ada kebaikannya dan saya percaya kakitangan PDC mengambil kualiti-kualiti ini sebagai teladan.

“Pemimpin-pemimpin ini memberi kami peluang belajar perkara di luar skop kerja dan membuat PDC berjaya dan menjadi sebuah badan yang mampu berkhidmat dengan baik,” katanya.

Kakitangannya, melalui pegawai-pegawai yang rapat dengannya, memberi ucapan selamat jalan melalui mesej video. Tidak ketinggalan, seorang pembantu yang sering membuat teh tarik kegemarannya sejak beberapa tahun lalu.

Beliau kemudian melambai kepada kamera dron dan mengucapkan selamat tinggal kepada semua kakitangannya.

Anak kelahiran Johor ini menyertai PDC pada 1990 dan menjadi timbalan pengurus besar pada 2000. Enam tahun kemudian, pada usia 48, beliau dilantik menjadi pengurus besar PDC yang termuda dalam sejarah.

Sebelum itu, beliau berkhidmat dengan sebuah firma kejuruteraan di Johor. Beliau berpindah ke utara untuk berada dekat dengan teman wanitanya yang kemudian menjadi isterinya.

Rosli memainkan peranan dalam pembinaan bandar-bandar baru bawah PDC seperti Bayan Baru dan Seberang Jaya, di samping membuat reka bentuk bangunan seperti Mayang Mall dan kompleks Motorola Solutions.

Katanya, selepas bersara, beliau akan libatkan diri sepenuh masa kepada melukis, minat yang dipenuhi setiap hujung minggu sejak 2012. Lukisannya dihasilkan pada kanvas dan kain batik.

Kebanyakan lukisannya menggambarkan bandaraya George Town, yang diilhamkan daripada penelitiannya dari tempat paling di bangunan Komtar setinggi 68 tingkat itu.

Rosli berazam menghasilkan lebih banyak lukisan dan mempamerkan di sebuah restoran seni di Lorong Stewart, yang diusahakan bersama anak perempuannya.