Polis: Warga tempatan terbabit sindiket tipu 47 rakyat Malaysia ke Kemboja

Polis berkata, mangsa diarahkan menghafal skrip serta berlakon sebagai pegawai bank dan mahkamah bagi tujuan menipu.(Gambar Bernama)

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak mengenal pasti beberapa warga tempatan terbabit dengan sindiket penipuan pekerjaan yang mengakibatkan 47 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja pada 11 Disember lalu.

Ketuanya, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, ia adalah hasil siasatan awal dijalankan polis selepas 8 daripada mangsa penipuan itu tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka diperdaya untuk bekerja dalam bidang perhotelan di Kemboja dengan gaji bulanan antara AS$1,200 dan AS$1,500, bagaimanapun sebelum itu, mereka perlu membayar yuran pemprosesan antara AS$200 dan AS$300 ke akaun bank seorang rakyat tempatan.

“Kemudian mangsa secara berasingan terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja antara Oktober dan November 2018,” katanya dalam kenyataan semalam.

“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, mangsa dibawa ke sebuah rumah dan tidak dibenarkan keluar. Makan minum disediakan, malah turut diarah menyerahkan telefon bimbit serta pasport mereka kepada individu yang menjaga dan mengawal mereka.”

Mustafa berkata, berdasarkan keterangan mangsa, mereka juga diarahkan menghafal skrip serta berlakon sebagai pegawai bank, mahkamah dan lain-lain bagi tujuan menipu.

“Penipuan ini sama seperti modus operandi sindiket Macau Scam yang membuat dan menjawab panggilan telefon. Selain itu, mereka juga diarah mempromosikan judi atas talian melalui panggilan telefon dan SMS kepada nombor-nombor yang disediakan.”