Saya hanya ikut langkah Dr M gesa Tunku letak jawatan, kata Boo

Boo Cheng Hau berkata, Dr Mahathir Mohamad pernah menggesa Tunku Abdul Rahman meletak jawatan pada 1969. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sehari selepas dikecam PPBM kerana menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, pemimpin DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau hari ini mempertahankan tindakannya dengan berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan kerana perdana menteri pernah berbuat demikian terhadap Tunku Abdul Rahman.

“Ia tiada beza daripada gesaan Dr Mahathir pada 1969 untuk Tunku Abdul Rahman meletak jawatan,” katanya kepada FMT sambil menambah orang ramai mempunyai hak menuntut “pemimpin terbaik yang mungkin kita fikirkan” untuk memimpin negara.

Semalam, Boo mendesak peletakan jawatan Dr Mahathir kerana pengerusi PPBM itu memperlekehkan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa DAP Johor itu turut menyerang PPBM menerima bekas pemimpin Umno dan memarahi mereka yang mendakwa Barisan Nasional tidak akan kalah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tanpa kepimpinan Dr Mahathir.

Ia disusuli kritikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Muhammad Faiz Na’aman yang menyifatkan Boo “kurang ajar” kerana menafikan peranan Dr Mahathir dalam kemenangan PH pada PRU14.

Hari ini, Boo berkata, beliau menghormati ketahanan Dr Mahathir sebagai ahli politik kanan dan perdana menteri, tetapi membantah langkah ahli Parlimen Langkawi itu kembali kepada dasar lama ketika memimpin negara buat pertama kali.

“Banyak kenyataannya sekarang bukan saja bercanggah konsensus dan manifesto PH, tetapi turut merosakkan kredibiliti PH secara menyeluruh.”

Boo turut mempertahankan kritikannya terhadap langkah PPBM menerima bekas ahli Umno.

“PPBM membenarkan penyertaan ahli Umno dengan integriti diragui dengan melanggar konsensus PH menghalang tindakan melompat parti yang menggalakkan rasuah dan politik wang.”

Boo berkata, beliau memberi masa kepada Dr Mahathir yang menyatakan manifesto PH bukannya kitab suci, untuk menunjukkan prestasinya sebelum menggesa beliau meletak jawatan.

“Tetapi, beliau sudah membuat pusingan U lebih sekali dan terlalu kerap sekarang.”