Sultan Johor serah semula kuota balak miliknya

Sultan Ibrahim (tengah) ketika mengadakan pertemuan dengan pengarah perhutanan Johor, hari ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyerahkan semula kuota pembalakan yang diperuntukkan kepadanya sehingga kini, kata pengarah Perhutanan Johor.

Menerusi kiriman Facebook Sultan Ibrahim, Datuk Jeffri Abd Rashid berkata atas nasihat Sultan Ibrahim, Johor menghentikan pengeluaran kuota pembalakan sejak 2014 bagi memastikan khazanah kayu hutan tidak diteroka lagi.

Sultan Ibrahim juga, katanya, mengarahkan penguatkuasaan bagi menjaga kawasan hutan di Johor bagi pemuliharaan khazanah hutan serta penjagaan hidupan liar.

Sebelum itu, Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Jeffri di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Jeffri membentangkan laporan keadaan hutan di Johor serta perancangan yang akan dilakukan jabatannya.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Sebelum ini, FMT melaporkan sebuah padang golf dan projek hotel mungkin dilaksanakan di sebahagian kawasan hutan simpan bakau Sungai Pulai yang popular di Gelang Patah, Johor.

Pencinta alam sekitar mendakwa, projek yang dibuka kepada umum hujung tahun lalu itu yang dilaporkan menelan belanja RM2 bilion telah menceroboh kawasan disenaraikan oleh Ramsar, satu konvensyen dunia mengenai perlindungan tanah basah.

Pendedahan itu dibuat hanya 2 bulan selepas kontroversi Pulau Kukup, satu lagi kawasan dalam senarai Ramsar, di persisiran pantai Pontian, yang status taman negaranya dilapor dibatalkan pada Oktober lalu.