Tukang masak ditahan sebabkan pelanggan lemah, khayal
Jabatan Kesihatan Negeri dan polis merampas beberapa jenis lauk dan satu bungkusan plastik lutsinar berisi biji kas-kas.
TELUK INTAN: Lemah dan khayal, itu antara simptom dialami beberapa pelanggan sebuah kedai makan di sini selepas menikmati hidangan di premis tersebut, Ahad lalu.
Bertindak hasil aduan pelanggan, satu operasi bersepadu ke atas premis tersebut digerakkan dengan melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supt Yahaya Hassan berkata hasil serbuan membawa kepada penahanan seorang tukang masak dan 2 pembantunya, termasuk seorang warga Bangladesh berumur 30 hingga 70-an kerana positif dadah jenis opiat.
Katanya polis turut merampas beberapa jenis lauk antaranya sambal kelapa, kuah kari kambing, kuah daging masak kicap, ayam goreng, sayur taugeh dan nasi putih untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
“Turut dirampas satu bungkusan plastik lutsinar berisi biji kas-kas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yahaya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Terdahulu, tular sejak semalam mesej mendakwa beberapa anggota polis “sangkut” ujian saringan air kencing selepas makan di sebuah premis makanan di Teluk Intan dan tukang masak premis berkenaan sudah ditahan.