Zahid berdepan 1 lagi pertuduhan pecah amanah

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berdepan satu lagi pertuduhan pecah amanah berjumlah RM260,000 yang dikatakan dana milik Yayasan Akal Budi dikendalikan keluarganya, lebih 2 tahun lalu.

Beliau didakwa menyeleweng dana Yayasan Akal Budi dengan membuat bayaran kepada sebuah syarikat, TS Consultancy & Resources pada 23 Disember 2016.

Presiden Umno yang berbaju batik hitam itu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Dengan dakwaan terbaru ini, beliau kini berdepan 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Mahkamah mengguna pakai RM2 juta ikat jamin terdahulu yang dikenakan ke atas Zahid dan menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober lalu, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 45 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akal Budi.

Ia termasuk 10 pertuduhan pecah amanah, 8 dakwaan rasuah berjumlah RM42 juta dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta.

Pada 14 Disember lalu, beliau berdepan 1 lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan RM10 juta milik Yayasan Akal Budi, kerana memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn Bhd pada Disember 2015.

Zahid diwakili peguam, Hisyam Teh dan Kitson Foong, manakala pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Foong berkata, Zahid sudah memfailkan permohonan memindahkan semua 47 pertuduhan dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.

“Jabatan Peguam Negara tidak menolak permohonan kami,” katanya sambil menambah Mahkamah Tinggi menetapkan esok untuk sebutan permohonan pemindahan kes itu.