Zuraida akui projek PR1MA dihentikan sementara

Zuraida Kamaruddin menyerahkan replika kunci kepada seorang penerima skim bantuan wang pendahuluan rumah, FundMyHome-Depositku di Semenyih hari ini.

SEMENYIH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengakui projek rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dihentikan sementara kerana kerajaan perlu permasalahan yang membelenggu projek itu.

Menteri Zuraida Kamaruddin berkata antara yang perlu dikaji adalah kemelut kewangan, lokasi pembinaan dan tawaran yang tidak berbaloi.

Atas sebab itu, kerajaan mahu melihat semula persetujuan-persetujuan yang ditandatangani dalam projek PR1MA.

“Tetapi rumah yang sedang dibina kita akan tetap teruskan sampai siap. Juga rumah yang sudah siap kita akan tolong kempenkan dalam ekspo-ekspo jualan rumah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan skim bantuan FundMyHome-Depositku hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya nasib projek PR1MA selepas kerajaan dilihat tertumpu kepada projek perumahan baru.

Zuraida berkata kementerian dalam projek menyediakan laporan audit projek PR1MA untuk dibentangkan ke jemaah menteri pada Jun.

“Kita tunggu laporan siap nanti,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memberitahu Dewan Rakyat hanya 1.6% atau 16,682 unit rumah PR1MA terbina sejak ia dimulakan pada 2013 berbanding sasaran 1 juta unit.

Keadaan itu menimbulkan kemusykilan kerana kerajaan memperuntukkan RM8 bilion untuk projek PR1MA.

“Justeru, kita akan menilai masalah dihadapi PR1MA dan bagaimana harus distruktur semula bagi keberkesanan pelaksanaannya,” kata Zuraida.