Adib cedera parah mungkin bukan akibat serangan, kata pakar bedah

Dr Anand Sachithanandan berkata, agak luar biasa dalam kes Adib kerana kecederaannya hanya tertumpu di bahagian rusuk.

SHAH ALAM: Seorang pakar bedah kardiotoraks yang merawat Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu Mahkamah Koroner, kecederaan parah dialami anggota bomba itu dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu, mungkin bukan berpunca daripada serangan.

Dr Anand Sachithanandan yang berkhidmat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) berkata, kecederaan pada dada kanan hingga bahu Adib akibat trauma tumpul pada dada yang mungkin berpunca daripada rempuhan, jatuh dari tempat tinggi, libasan atau serangan.

“Bagi kecederaan akibat serangan, agak luar biasa untuk ia tertumpu di satu bahagian,” katanya menjawab soalan pegawai pengendali inkues mencari punca kematian Adib, Zhafran Rahim Hamzah.

“Biasanya, kami menjangkakan kecederaan akibat mempertahankan diri jika seseorang itu diserang, tetapi kita tak nampak (kesan itu) pada Adib.

“Bagaimanapun, saya rasa agak luar biasa dalam kes ini kerana kecederaan hanya di bahagian rusuk.”

Saksi ke-13 inkues itu berkata, doktor pakar membuat keputusan memindahkan Adib ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana ia mempunyai mesin yang mampu menstabilkan paru-paru cedera.

“Dia dalam keadaan stabil, tetapi masih sakit. Jadi, menghantarnya ke IJN adalah cara terbaik.”

Inkues kematian Adib akan disambung 25 Februari ini.

Sementara itu, Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan badan bertindak Kuil Sri Maha Mariamman untuk menghentikan prosiding inkues dan mengambil bahagian dalam inkues itu, esok.

Badan bertindak itu sebelum ini memohon untuk menyertai inkues, tetapi ditolak mahkamah.