Delegasi China akan ke Malaysia runding ECRL, kata Daim

Daim Zainuddin berkata, delegasi China akan datang ke Malaysia bulan ini dan beliau berharap ada keputusan dicapai dalam rundingan itu.

KUALA LUMPUR: Delegasi dari China dijangka berkunjung ke Malaysia untuk membincangkan masa depan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin.

“Biar saya jelaskan, kami masih berunding. Sebenarnya, mereka akan datang ke Malaysia bulan ini. Mereka mengundang saya ke China sebelum ini, tetapi saya tidak dapat pergi, sebab itulah saya mempelawa mereka datang ke Malaysia,” katanya dalam wawancara bersama akhbar Nanyang Siang Pau yang disiarkan hari ini.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan keputusan akhir dicapai berhubung isu itu, Daim berkata: “Mudah-mudahan ada keputusan yang dicapai, bagaimanapun ia bukan mudah sebab isu ini agak rumit.”

Beliau menyifatkan projek itu sebagai “isu sensitif”, justeru lebih baik kurang membuat kenyataan mengenainya.

“Jika tidak, apabila saya memperkatakan sesuatu, mereka mungkin tersalah tafsir, kemudian mereka bertanya kenapa saya cakap begitu? Isu ini kemudian akan menjadi lebih sensitif.”

Beliau berkata, delegasi yang bertanggungjawab dalam projek ECRL itu akan turut memberi taklimat berkaitan inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) China.

Sementara itu, dalam wawancara dengan Sin Chew Daily, Daim ditanya isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau berkata, kerajaan perlu menyingkirkan sebarang kebimbangan orang Melayu berkaitan isu itu dan menenangkan mereka dengan memberitahu mereka tidak akan kehilangan apa-apa.

Katanya, orang Melayu tidak bersetuju UEC diberi pengiktirafan kerana mereka berpendapat ia bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan mencabuli hak orang Melayu.

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu memberi penjelasan kepada rakyat, namun pada masa sama, mengambil sikap berhati-hati kerana ia sudah dipolitikkan.