Demi mudahkan jururawat bercuti di musim perayaan, kata hospital selepas iklan kontroversi

Hospital Pantai Sungai Petani memohon maaf atas iklan biasiswa berbaur perkauman itu dan berjanji tidak akan mengulanginya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Iklan biasiswa kejururawatan bersifat perkauman dikeluarkan Hospital Pantai Sungai Petani yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini bertujuan menarik lebih ramai pemohon bukan Melayu untuk membolehkan jururawat berbangsa Melayu meluangkan masa bersama keluarga pada musim perayaan.

Pengarah jururawat hospital itu, Katini Abu Hassan yang kesal dengan iklan itu berkata, masalah penjadualan kerja berlaku pada musim perayaan kerana kira-kira 72% jururawatnya ialah orang Melayu.

“Sebagai pengarah jururawat, harapan saya ialah kakitangan saya boleh meluangkan masa bersama orang tersayang.

“Jadi, kalau boleh, saya mahu mengambil lebih ramai jururawat berbilang kaum untuk membolehkan jururawat berbangsa Melayu bercuti pada musim perayaan,” katanya kepada FMT.

Katini berkata, pengambilan jururawat kaum lain akan membolehkan mereka menawarkan penjagaan lebih baik bagi pesakit berlainan kaum.

“Kebimbangan kami ialah memastikan perwakilan kaum seimbang bagi jururawat, khasnya pada musim perayaan, menimbulkan salah faham tidak diingini.

“Kami tidak berniat mendiskriminasi mana-mana kaum atau agama. Tempat kerja kami mempunyai kakitangan berbilang bangsa di semua jabatan,” katanya sambil menambah mereka akan lebih berhati-hati kelak.

Baru-baru ini, hospital swasta di Kedah itu mengeluarkan iklan mencari pemohon berbangsa Cina, Siam, India dan beragama Kristian.

Iklan itu dikritik netizen yang mendakwa hospital terbabit rasis dan menggesa orang ramai memboikot hospital berkenaan.

“Kami ingin memohon maaf bagi iklan itu yang mengandungi elemen tidak munasabah,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tio Bee Chan kepada FMT.

“Kami mengakui iklan itu dikeluarkan kerana kurang penelitian dalam proses kelulusan, tetapi ini tidak mencerminkan nilai organisasi kami.

“Kami bertanggungjawab terhadap kesilapan itu dan memberi jaminan insiden sedemikian tidak akan berulang.”

Katanya, hospital itu tidak mengamalkan sikap prejudis terhadap mana-mana kaum atau agama.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, beliau menganggap perkara itu selesai selepas hospital terbabit membuat permohonan maaf.