Indeks Pelopor ekonomi susut 1.4% pada Disember 2018

IP disusun untuk memantau prestasi ekonomi bagi purata 4 hingga 6 bulan ke hadapan.

KUALA LUMPUR: Perubahan bulanan Indeks Pelopor (IP) merosot 1.4% kepada 117.3 mata pada Disember 2018 daripada 119.0 mata pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan prestasi petunjuk ekonomi negara bagi bulan rujukan Disember 2018, ekonomi Malaysia diunjurkan tumbuh pada kadar lebih pelahan dari April hingga Jun 2019.

Penurunan dalam IP didorong oleh penurunan ketara 2 komponen, iaitu import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus Lain serta bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan, masing-masing mencatatkan negatif 0.5%.

“Perubahan tahunan IP juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 1.7 peratus pada bulan rujukan,” katanya dalam Petunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Disember 2018.

IP disusun untuk memantau prestasi ekonomi bagi purata 4 hingga 6 bulan ke hadapan.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS), ukuran kedudukan ekonomi semasa, kekal pada Disember 2018.

Peningkatan gaji & upah benar dalam sektor pembuatan (0.2%) dan nilai caruman benar kepada KWSP (0.1%) diimbangi oleh penurunan dalam kapasiti penggunaan dalam sektor pembuatan (-0.2%) dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.1%).

Pada masa yang sama, perubahan tahunan IS tumbuh 3.6% seperti pada bulan sebelumnya.