Jabatan perpaduan janji tangani isu patung berhala di surau Klang secara aman

Patung berhala yang memakai kalung bunga ini ditemui siak Surau Sabilul Huda di Taman Pendamar Indah, Klang, petang semalam.

PETALING JAYA: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan berbincang dengan jawatankuasa Surau Sabilul Huda di Klang dan pengerusi rukun tetangga di Taman Pendamar Indah untuk memastikan isu penemuan patung berhala di perkarangan surau itu ditangani dengan aman.

JPNIN dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya melalui rukun tetangga taman itu akan bekerjasama dengan polis dan jawatankuasa surau terbabit untuk memastikan keselamatan tempat ibadat itu dan kawasan perumahan sekitar.

“Hasil siasatan JPNIN mendapati pihak surau telah membuat laporan polis bagi memaklumkan kejadian tersebut untuk tindakan dan siasatan polis.

“Kami menghargai tindakan polis dan jawatankuasa surau berkenaan dalam menangani isu ini dengan aman.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap isu ini dan menunggu laporan daripada pihak polis.”

Media hari ini melaporkan patung berhala itu ditemui bersebelahan pintu masuk utama di Surau Sabilul Huda di Klang, semalam.

Siak surau itu, Mohd Yatim Omar dipetik sebagai berkata, beliau menjumpai patung berhala itu ketika membuka pintu surau kira-kira 4.15 petang.

Katanya, beliau tidak tahu motif pelaku dan surau itu tidak pernah menerima sebarang aduan, kecuali kes kecurian tabung surau.