Jangan salah tafsir kenyataan PM, Muhyiddin beritahu penjawat awam

Muhyiddin Yassin berkata, perdana menteri merujuk kepada kemajuan teknologi yang membolehkan kerajaan mengambil jumlah tenaga kerja yang bersesuaian.

SEMENYIH: Penjawat awam tidak perlu gusar dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengurangkan jumlah penjawat awam, mengatakan ia tidak bermaksud mereka akan diberhentikan begitu sahaja.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perdana menteri hanya merujuk kepada kemajuan teknologi yang membolehkan kerajaan mengambil jumlah tenaga kerja yang bersesuaian.

“Perdana menteri tidak kata secara terus yang dia nak kurangkan kakitangan kerajaan, dia cuma jelaskan anjakan baru dan perubahan perlu dilakukan seiring dengan kemajuan teknologi.

“Saya fikir penjawat awam bijaksana, elok baca secara teliti kenyataan itu, kalau nak kurangkan hari ini pun saya tidak setuju. Penjawat awam masih penting cuma akan ada satu fasa kerajaan tidak perlukan terlalu ramai pekerja,” katanya kepada pemberita di bilik gerakan Pakatan Harapan, hari ini.

Muhyiddin juga berharap penjawat awam tidak salah faham kenyataan tersebut terutama pengundi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih bagi memastikan ia tidak menjejaskan sentimen pengundi.

“Jangan salah tafsir sehingga ada penjawat awam yang marah lepas itu tak nak sokong saya, kenyataan itu sebenarnya cukup jelas, adil dan munasabah,” katanya.

Ketika lawatan ke Kementerian Pertahanan hari ini, Dr Mahathir berpendapat jumlah penjawat awam yang dimiliki kerajaan ketika ini adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Katanya, jumlah terkini penjawat awam adalah seramai 1.7 juta dan meningkat dengan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada 2003.

“Apabila saya letak jawatan, jumlah anggota pentadbiran hanya 1 juta sahaja tapi sekarang sudah meningkat kepada 1.7 juta. Ia meningkat sebanyak 700,000.

“Saya berpendapat saiz pentadbiran kerajaan terlalu besar, sebaliknya dengan menggunakan teknologi maklumat, komputer dan sebagainya kita boleh kurangkan saiz ini,” kata Dr Mahathir.