Jawatankuasa khas cadang kerajaan biaya parti politik, termasuk pembangkang

Terdapat 50 parti politik di Malaysia dan berkemungkinan hanya 10 yang aktif.

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya mencadangkan kerajaan membantu parti politik termasuk pembangkang dari segi kewangan untuk pilihan raya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, banyak negara maju memberikan bantuan kewangan kepada parti politik.

“Kita sedang lihat aspek ini secara serius dan kita akan sediakan formula yang baik.

“Kalau boleh kerajaan bagi kewangan sikit untuk parti politik untuk hidup,” katanya pada sidang medianya di Menara Usahawan, hari ini.

Abdul Rashid Abdul Rahman.

Rashid berkata, terdapat 50 parti politik di negara ini dan berkemungkinan hanya 10 yang aktif.

Katanya, untuk mengaktifkan parti politik yang tidak aktif adalah dengan meminta mereka menghantar laporan mesyuarat tahunan dan memberi bantuan kewangan.

“Apa yang boleh dilakukan adalah mereka menghantar mesyuarat tahunan mereka.

“Parti ini tidak boleh berfungsi sebab apa? Sebab tidak ada sumber kewangan dan tak ada duit,” katanya, sambil menambah akan ada satu badan yang akan mengawal pembiayaan kewangan parti untuk pilihan raya.

Rashid berkata pihaknya juga kini merancang untuk memperbaharui undang-undang pilihan raya Malaysia dan memberikan kuasa penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“SPR mesti diberi kuasa penuh dan kuat serta tidak ada siapa yang boleh mempengaruhinya termasuk parti yang memerintah supaya dapat jalankan pilihan raya yang adil,” katanya.

Rashid berkata, walaupun SPR yang mengendalikan pilihan raya, tetapi mereka tidak boleh mengawal perjalanannya.

“Dia (SPR) tahu (parti atau calon) lakukan kesalahan tapi dia suruh laporkan (kesalahan) kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Yang uruskan pilihan raya ini dia, tapi tak boleh nak kawal. Kita sedar ini semua dan tentu sekali kita nak tentukan SPR ada kuasa yang kuat… ada taring, ada gigi,” katanya.

Rashid juga berkata jawatankuasanya mahu mencadangkan agar SPR boleh mendaftar parti politik.

“Sekarang ini untuk mendaftar sebagai parti politik di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Ada perbincangan hangat di kalangan (ahli) jawatankuasa saya. Banyak cenderung untuk beri kuasa pada SPR. Kalau dia pendaftar, dia berkuasa untuk mengawal,” katanya.