Kagum semangat pemuda kudung, timbalan menteri janji bantu keluarga

Mohamed Hanipa Maidin (kiri) mengunjungi rumah Syed Syahrain (tengah) yang tinggal bersama neneknya.

SUNGAI BULOH: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berjanji untuk membantu keluarga pemuda kudung, Syed Mohd Syahrain Syed Fadzin, yang hidup serba kekurangan.

Hanipa berkata, beliau kagum dengan semangat Syed Syahrain yang sanggup menaiki motosikal untuk bekerja sebagai penghantar makanan walaupun kudung di pergelangan tangan.

“Saya datang sini untuk raikan adiwira yang tidak didendang ini, Saya bawa sedikit sumbangan dan cenderamata kepadanya. Tapi, selepas masuk rumah neneknya, saya lihat bumbung rumah bocor sedikit.

“Bahkan, neneknya beritahu tidak dapat apa-apa sumbangan (daripada kerajaan) walaupun dia masuk dalam kategori yang layak terima bantuan.

“Jadi saya juga hendak bantu baik pulih bumbung rumahnya. Saya sebagai timbalan menteri mempunyai peruntukan sendiri untuk bantu keluarganya setakat yang mampu,” katanya ketika berkunjung ke rumah Syed Syahrain, hari ini.

Syed Syahrain berkata, kehadiran Hanipa ke rumah neneknya, Ramlah Anang, 60, merupakan penghargaan besar memandangkan neneknya tidak pernah menerima lawatan pemimpin, apa lagi sumbangan daripada mana-mana pihak.

Keadaan siling rumah nenek Syed Syahrain yang bocor mendapat perhatian timbalan menteri di JPM.

“Saya tinggal dengan nenek sejak saya kecil lagi. Saya terima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana saya orang kurang upaya (OKU) tetapi nenek tidak ada terima bantuan,” katanya.

Kisah Syed Syahrain yang sanggup naik motosikal menghantar makanan dalam keadaan kedua-dua tangannya kudung di pergelangan tangan yang ketengahkan FMT baru-baru ini menarik perhatian ramai.

Beliau memberitahu FMT, di samping mencari sumber pendapatan, beliau melakukan kerja itu untuk menangkis persepsi buruk sebahagian masyarakat terhadap OKU dan bangsa Melayu yang kerap dikaitkan dengan sikap malas.

“Saya hendak buktikan saya boleh berdikari dan saya mahu buktikan juga Melayu tidak malas,” kata pemuda berusia 25 tahun itu.

Ditanya sama ada beliau berharap mendapat bantuan tangan palsu untuk meningkatkan keupayaannya bergerak dan bekerja, Syed Syahrain berkata, setakat ini beliau selesa dengan keadaannya sekarang.

Syed Syahrain hilang kedua pergelangan tangannya kerana terkena letupan objek seperti bola golf ketika berusia 9 tahun.