Mahkamah benarkan 16 bekas ahli Umno cabar kesahihan parti

Peguam, Haniff Khatri Abdulla (kiri) bersama bekas ahli Umno, Salihudin Abdul Khalid menghadiri pendengaran mahkamah November lalu.

PUTRAJAYA: Enam belas bekas ahli Umno hari ini memperoleh kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kesahihan parti itu.

Ini susulan keputusan sebulat suara panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah, dalam membenarkan pemohonan untuk kebenaran merayu mereka.

Mengikut undang-undang, litigan yang berhasrat merayu keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes sivil perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.

Wong membenarkan permohonan bagi kebenaran merayu berdasarkan 2 persoalan undang-undang.

Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang menyisihkan bidang kuasa mana-mana mahkamah untuk melayani sebarang kes saman, permohonan, persoalan atau prosiding dalam sebarang perkara berkaitan hal ehwal parti, adalah ultra vires (melampaui bidang kuasa) Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Satu persoalan lagi – sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melawan Datuk Justine Jinggut adalah undang-undang yang masih berkuat kuasa, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd melawan pentadbir tanah daerah Hulu Langat, selain kes M Indira Gandhi melawan pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan lain-lain.

Bagi kedua-dua kes, Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, Tan Sri Zainun Ali (kini bersara) berpendapat, kuasa kehakiman terletak pada badan kehakiman dan klausa penyisihan dalam undang-undang yang menghapuskan bidang kuasa mahkamah untuk menyemak perkara tertentu dalam lingkungan perundangan adalah tidak mengikut Perlembagaan.

Dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman, semua 16 bekas ahli Umno itu memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan JPPM seperti diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018, dalam memberi Umno lanjutan tempoh untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019, yang melepasi tempoh maksimum.

Enam belas bekas ahli Umno itu adalah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Mereka selanjutnya memohon perintah mandamus untuk mendesak JPPM membubarkan Umno buat sementara dan JPPM menggantung semua aktiviti parti itu sehingga selesai semakan kehakiman itu.

Mereka turut memohon perisytiharan Umno ialah parti tidak sah berkuat kuasa 20 April 2018.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman difailkan kumpulan itu, selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan JPPM.

Mereka kalah dalam rayuan itu yang ditolak Mahkamah Rayuan pada 5 November lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Kamaludin Mohd Said (kini hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman atas alasan Seksyen 18C Akta Pertubuhan menetapkan seseorang ahli parti tidak boleh membawa pertikaian berkaitan parti ke mahkamah.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla mewakili kumpulan itu, manakala peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili JPPM.