Malaysia kini tumpuan pasaran seks bawah umur, kata aktivis

Seorang kanak-kanak meminta sedekah di jalanan di Kuala Lumpur. Aplikasi ‘Be My Protector’ yang direka untuk menghentikan penyeludupan manusia menerima 300 laporan eksploitasi seksual, buruh paksa dan penyeludupan manusia dalam tempoh 9 bulan.

PETALING JAYA: Tindakan tegas terhadap perdagangan seks kanak-kanak di Thailand, Kemboja dan Filipina bermakna fidofilia asing semakin banyak menyasarkan Malaysia untuk kegiatan sumbang mereka.

Pengasas bersama kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita, Aegile Fernandez mendedahkan permintaan kepada seks dengan kanak-kanak semakin meningkat di negara ini.

“Negara jiran semakin peka mengenai masalah pelacuran kanak-kanak mereka dan pihak berkuasa mereka bekerja keras memerangi fidofilia dan aktiviti seks kanak-kanak.

“Ini bermakna Malaysia semakin menjadi destinasi lelaki yang mahukan seks bawah umur,” katanyanya kepada FMT.

Bagaimanapun umum rakyat Malaysia tidak sedar tentang perkembangan itu.

“Oleh sebab permintaannya meningkat, sindiket mencari kanak-kanak dari luar bandar atau kawasan miskin bandar, kata Fernandez.

“Mereka menyasarkan budak lelaki daripada keluarga bermasalah yang dijaga oleh saudara-mara atau jiran tetangga.

“Mereka menghantar wanita yang nampak boleh dipercayai ke rumah budak lelaki berkenaan bagi mendapatkan kepercayaan ibu bapa atau penjaga mereka.

‘Makcik baik’ ini memberitahu bahawa budak lelaki tersebut akan diberikan kerja dengan pendapatan sehingga RM1,000 sebulan”.

Ibu bapa atau penjaga ini akan diberiahu oleh “makcik” berkenaan bahawa budak lelaki terbabit akan bekerja di ladang atau menjadi nelayan.

Aegile Fernandez berkata Malaysia semakin menjadi destinasi pilihan bagi lelaki mendapatkan perkhidmatan seks di bawah umur.

“Bagi sanak-saudara dan jiran-jiran ini, kalau ada orang yang sanggup jaga budak-budak itu, mereka berasa lega,” beliau memberitahu FMT.

Mereka percaya pendapatan yang diperoleh dengan ilmu kemahiran lebih lumayan.

Malangnya, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak ini, yang gembira kerana menyangka mereka mendapat kerja, tidak tahu rupa-rupanya kanak-kanak itu terjebak dalam perangkap perhambaan seks.

Tetapi setelah terlepas ke tangan mereka, anggota sindiket tersebut membawa kanak-kanak malang itu ke dunia yang tidak pernah mereka mimpikan – pelacuran atau menjadi pengemis.

“Sejak 2 tahun lalu, terdapat permintaan tinggi untuk mendapatkan kanak-kanak untuk perdagangan seks. Kanak-kanak ini terdiri daripada anak tempatan atau pelarian,” katanya.

Kadang-kadang budak lelaki ini kelihatan bersama lelaki dewasa di kawasan seperti Bukit Bintang, Brickfields, Pasar Seni, dan Ampang.

Daripada siasatan yang dijalankan, Tenaganita mendapat maklumat daripada pelancong dan masyarakat bahawa budak lelaki dan perempuan dibawa masuk dengan kereta selepas jam 11 malam dan dihantar kembali keesokan pagi.

Mereka juga mendapati ada dalam kalangan kanak-kanak itu diberi dadah, lalu terjerumus dan terperangkap dalam lembah pelacuran dan penagihan dadah.

Sebahagian mereka dipersiapkan untuk dunia seks siber.

Dalam kajian di kawasan Chow Kit yang terkenal sebagai kawasan “lampu merah”, dan bertanya beberapa lelaki mengapa mereka mendapatkan kepuasan seks dengan kanak-kanak.

Kebanyakan mendakwa mereka kecewa tidak mendapat kepuasan dengan isteri dan oleh itu mencari seseorang yang lebih muda.

Fernandez merayu orang ramai yang melihat atau tahu tentang insiden yang meragukan agar melaporkannya kepada aplikasi “Be My Protector” (Jadilah Pelindung Saya) untuk membanteras pemerdagangan manusia dan seks di negara ini.

Dalam tempoh 9 bulan sahaja, aplikasi itu menerima 300 laporan mengenai kes eksploitasi seks, buruh paksa, dan mangsa diseludup keluar negara untuk perdagangan seks.

Malaysia mungkin berada di belakang negara Asia lain dalam memerangi industri seks kanak-kanak, tetapi orang ramai mula sedar tentang kewujudan masalah itu.

Fernandez dan Tenaganita berharap rakyat akan bersedia untuk bertindak balas terhadap jenayah tersebut, sekali gus menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsanya.