Muhyiddin minta pengundi Semenyih beri peluang calon PH baiki kelemahan

Muhyiddin Yassin yakin Muhammad Aiman Zainali mampu menjadi wakil rakyat berkesan kerana beliau bijak dan berkelulusan.

SEMENYIH: Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali mempunyai masalah berkomunikasi dengan baik ketika berkempen.

Katanya, kelemahan itu tidak patut dijadikan ukuran seolah-olah beliau tidak mampu menjadi Adun, sebaliknya beliau meminta pengundi memberi peluang kepada calon PH berusia 30 tahun itu untuk berkhidmat kepada mereka.

“Sebagai anak muda, kalau masuk bertanding buat pertama kali dan bersemuka dengan masyarakat, perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

“Saya akui, tapi jangan jadikannya sebagai gambaran yang dia tidak berupaya atau tak boleh buat kerja langsung.

“Kita akan cuba perbaiki prestasi persembahannya, bukan berlakon atau dibuat-buat, sebaliknya menunjukkan prestasi yang lebih baik.

“Dia seorang yang bijak dan mempunyai kelulusan, dia mampu menjadi wakil rakyat yang berkesan pada masa depan,” katanya di bilik gerakan utama PH hari ini.

Aiman sebelum ini dilaporkan mengalami kesukaran berkomunikasi dengan pengundi di DUN Semenyih, terutamanya golongan pertengahan umur.

Media juga mendapati Aiman tidak dapat memberi maklum balas sesuai mengenai gerak kerja dan kempennya.

Aiman turut menolak jemputan debat anjuran pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 sebelum ia dibatalkan kerana sambutan kurang memberangsangkan.