Najib jelaskan kenapa RM15 juta untuk penasihat British adalah sah

Paul Stadlen (kiri) dan Hafarizam Harun (kanan) berdepan pertuduhan pengubahan wang berkaitan cek RM15 juta daripada Najib Razak.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mempertahankan peguam Umno, Datuk Hafarizam Harun dan bekas penasihat perhubungan awamnya, Paul Stadlen, selepas kedua-duanya berdepan pertuduhan pengubahan wang membabitkan RM15 juta.

Bekas perdana menteri itu berkata, bayaran dibuat Hafarizam kepada Stadlen adalah sah dan datang daripada “sumber sah”.

“Satu keputusan dibuat untuk membayar syarikat Stadlen secara terus menggunakan dana parti yang diuruskan saya, bukannya dana kerajaan bagi mengelakkan kontroversi selanjutnya.

“Sebagai sebahagian perjanjian kami, beliau akan dibayar RM15 juta untuk kerja selama beberapa tahun,” katanya kepada FMT hari ini.

Hafarizam hari ini mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan pengubahan wang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau didakwa mendeposit RM15 juta yang diterimanya daripada Najib ke akaun bank milik firma guamannya.

Mahkamah turut diberitahu Stadlen yang didakwa tanpa hadir atas pertuduhan sama, akan dibicarakan bersama Hafarizam jika pihak berkuasa berjaya menahannya.

Najib turut mempertahankan keputusannya mengambil Stadlen, warganegara British yang pernah bekerja dengan Apco, sebuah syarikat perhubungan awam diupah kerajaan Barisan Nasional.

Stadlen kemudiannya meletak jawatan dalam firma PR itu untuk memulakan syarikat sendiri, sejurus selepas kontroversi mengenai hubungan Apco dan ahli politik Israel berlaku.

Najib berkata, wang kepada Stadlen itu diserahkan kepada Hafarizam dalam sebuah akaun amanah untuk membolehkan peguam itu membuat bayaran kepada Stadlen bagi tempoh beberapa tahun.

“RM15 juta itu bukannya dibayar kepada Hafarizam, tetapi untuk dibayar kepada syarikat Paul apabila tiba masa untuk membuat bayaran selama beberapa tahun.”

Najib memuji Hafarizam dengan menyifatkannya tokoh dihormati ramai dalam bidang guaman.

“Ini adalah peguam ke-2 saya yang didakwa secara tidak adil dan dakwaan terhadap beliau serta Stadlen dibuat sempena pilihan raya kecil,” katanya merujuk pilihan raya kecil Semenyih pada 2 Mac ini.

Najib berkata, sumber dana dalam kes Hafarizam turut menjadi subjek dalam beberapa dakwaan terhadapnya, tetapi beliau yakin dapat membuktikan dana itu datang daripada sumber sah.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, taktik sama juga digunakan untuk merosakkan namanya, termasuk dakwaan beliau meminta pindaan ke atas laporan akhir pengauditan 1MDB.

Sementara itu, Najib berkata, dakwaan sebenar ialah beliau menukar draf laporan audit, bukannya laporan akhir.

“Terdapat juga dakwaan dalam media, saya mengarahkan pindaan untuk mengeluarkan nama Jho Low dalam laporan audit itu, walaupun ia sudah dijelaskan di Parlimen yang pembabitannya mewakili rakan kongsi Arab Saudi,” katanya merujuk ahli perniagaan, Low Taek Jho.

“Jadi, saya percaya pertuduhan terhadap Hafarizam sekadar propaganda pilihan raya kecil.”