NGO wanita selar ahli Parlimen PAS sokong kahwin bawah umur

Laporan Unicef dan Universiti Al-Azhar mengatakan perkahwinan kanak-kanak adalah adat dan bukan sebahagian daripada syariah. (Facebook pic)

PETALING JAYA: Kumpulan memperkasakan wanita, Sisters in Islam (SIS) menyelar ahli Parlimen PAS yang memberi pandangan berhubung kehamilan remaja dan perkahwinan bawah umur, menggelarkannya sebagai “tidak bertanggungjawab” dan “pandangan kurang jelas”.

Jurucakap SIS, Majidah Hashim berkata sebagai ahli Parlimen, Datuk Che Abdullah Mat Nawi perlu menjaga kepentingan kanak-kanak.

Beliau menambah pendirian Che Abdullah yang tidak bersetuju dengan gesaan menaikkan had umur berkahwin kepada 18 tahun dan mengahwinkan pasangan yang ditangkap khalwat bertentangan dengan matlamat itu.

“Untuk membenarkan dan menggalakkan perkahwinan kanak-kanak bermakna kegagalan untuk mengutamakan apa yang penting kepada kanak-kanak, iaitu pendidikan. Ini agak tidak bertanggungjawab kerana ia menjejaskan kesihatan dan masa depan kanak-kanak,” katanya kepada FMT.

Che Abdullah berkata pasangan belum berkahwin yang ditangkap berkhalwat, perlu dikahwinkan supaya mereka lebih bertanggungjawab selepas itu.

“Jadi, saya tidak rasa perkahwinan menghalang sesiapa daripada meneruskan pelajaran mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Majidah berkata pasangan yang berkahwin dengan cara itu memberi mesej yang salah bahawa masa depan mereka tidak penting.

Beliau menambah mereka yang kahwinkan anak-anak dengan alasan tidak mampu membesarkan mereka hanya mengekalkan masalah itu.

“Tanpa pendidikan yang baik, anak-anak tidak boleh mendapatkan pekerjaan yang baik. Sekiranya mereka berkahwin dengan pasangan yang juga tidak berpendidikan atau mempunyai pendidikan yang rendah, mereka tidak dapat memperoleh pekerjaan yang baik, yang akan membantu mereka melepaskan diri daripada kemiskinan. ”

Majidah juga berkata kanak-kanak perempuan bawah umur tidak mempunyai kematangan mental dan psikologi untuk menjadi ibu yang bertanggungjawab, atau memilih suami yang bertanggungjawab yang akan membantunya membesarkan anak-anak.

“Kami mempunyai banyak kes di mana kanak-kanak belum mencapai kematangan emosi,” katanya.

“Ketika mereka membesar, personaliti dan cita-cita mereka mungkin berubah, dan ini mengecewakan pasangan mereka, jadi banyak perkahwinan ini tidak kekal.”

Beliau juga memetik laporan bersama dari Unicef dan Universiti Al-Azhar Mesir yang menyatakan usia terbaik untuk perkahwinan adalah 18 tahun ke atas.

Laporan itu juga mengatakan perkahwinan kanak-kanak adalah adat dan bukan sebahagian daripada syariah.

Jurucakap Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Melissa Mohd Akhir juga mengkritik Che Abdullah, mengatakan ahli Parlimen Tumpat itu “tidak mengetahui” hakikat dan hak kanak-kanak.

Beliau berkata kerajaan Kelantan sudah mempunyai dasar mengenai kebajikan kanak-kanak, yang dikenali sebagai “Dasar Kanak-kanak Fitrah Kelantan” yang meletakkan umur minimum untuk berkahwin pada usia 18 tahun berdasarkan usia matang atau rusyd.

Beliau menambah senator PAS, Asmak Hussin bercakap tentang dasar itu di Dewan Negara pada Ogos lalu, malah mencadangkan penekanan diberikan kepada tahap kematangan pasangan dan kesediaan mereka untuk menghadapi kesulitan dalam perkahwinan.

Beliau bersetuju kemiskinan merupakan faktor utama dalam perkahwinan kanak-kanak dan keciciran dalam pelajaran.

“Hakikatnya adalah, ia hampir mustahil untuk mendapatkan seorang kanak-kanak yang berjaya menamatkan peperiksaan SPM selepas menjadi suami atau isteri.

“Kami mengesyorkan ahli Parlimen itu menangani realiti dan bukannya mencadangkan perkahwinan bawah umur, yang tidak efektif dan merupakan penyelesaian sementara.”

Isu perkahwinan bawah umur banyak diperdebatkan di media sejak Jun tahun lalu selepas seorang lelaki berusia 41 tahun di Kelantan mengahwini kanak-kanak 11 tahun sebagai isteri ke-3nya.

Putrajaya mendesak supaya menaikkkan umur minimum untuk perkahwinan kanak-kanak perempuan dari 16 ke 18, manakala Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menggesa kerajaan negeri menaikkan umur minimum kepada 18 orang bagi pengantin Islam dan bukan Islam.

SIS sebelum ini mengkritik kerajaan Kelantan kerana tidak menyokong gesaan Dr Mahathir.