Peguam bekas ketua PR Najib bidas dakwaan ‘bermotif politik’

Paul Stadlen didakwa tanpa hadir kerana pengubahan wang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peguam mewakili bekas ketua perhubungan awam Najib, Paul Stadlen, membidas kerajaan berhubung dakwaan terhadap beliau dengan berkata, kes berkenaan “bermotif politik dan bercanggah dengan keadilan semula jadi”.

“Paul dengan tegas menafikan sebarang salah laku,” kata Kevin Gold, rakan kongsi pengurus di firma guaman British, Mishcon de Reya dalam satu kenyataan, sekali gus menambah semua pertuduhan akan “dibantah dengan bersungguh-sungguh”.

“Kerajaan Malaysia mempunyai agenda politik, dan Paul terperangkap dalam tindak balas terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.”

Stadlen, yang dipercayai merupakan sebahagian daripada pasukan komunikasi Najib di Jabatan Perdana Menteri, didakwa tanpa hadir kerana pengubahan wang, semalam.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas pengarah urusan Apco Worldwide Malaysia itu meninggalkan negara sebelum pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

SPRM berusaha menjejak beliau sejak itu, dan pegawai SPRM memberitahu, beliau dikehendaki berkait siasatan ke atas syarikat pelaburan negara, 1MDB.

Bagaimanapun Gold berkata, tidak ada peruntukan dalam undang-undang Malaysia yang membolehkan Stadlen didakwa tanpa hadir.

Beliau juga menafikan bahawa Stadlen bersembunyi, dengan berkata, kliennya hanya mengetahui pihak berkuasa mencari beliau selepas satu notis media dikeluarkan pada 1 November tahun lepas.

“Susulan itu, firma kami menghubungi pihak berkuasa Malaysia dengan serta-merta. Sehingga kini kami tidak menerima apa-apa respons,” katanya.

Portal pemberi maklumat, Sarawak Report sebelum ini mendakwa Stadlen ditawarkan bayaran sebanyak AS$420,000 untuk tempoh 6 bulan sebagai penasihat pentadbiran Najib.

Bekas syarikat beliau, Apco mendapat perhatian ramai apabila didedahkan firma PR itu menerima bayaran yang tinggi untuk mempromosi kempen oleh kerajaan, termasuk inisiatif 1Malaysia Najib.

Peranan itu kemudiannya ditamatkan.