Peguam Umno Hafarizam didakwa terima cek Najib bernilai RM15 juta

Datuk Hafarizam Harun didakwa terima cek bernilai RM15 juta dari Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Peguam Umno Datuk Hafarizam Harun hari ini mengaku tidak bersalah terhadap 2 tuduhan pengubahan wang melibatkan cek bernilai RM15 juta dari bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hafarizam, 47, yang juga sebahagian anggota Lembaga Disiplin Umno, didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad menetapkan ikat jamin RM500,000, sementara sebutan kes pada 25 Mac.

Dalam pertuduhan pertama, beliau didakwa mendeposit 2 keping cek dari Najib bernilai RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, di antara 16 April and 4 Nov, 2014.

Dalam pertuduhan kedua, beliau didakwa mendeposit cek bernilai RM3.5 juta dari Najib ke dalam akaun sama pada 12 Feb, 2015.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di cawangan CIMB Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Hafarizam diwakili peguam Hasanul Rezua Merican, Wan Azmir Wan Majid dan Abu Bakar Isa Rahmat, manakala pendakwaan dilakukan Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Jika disabit, Hafarizam berdepan 15 tahun penjara dan denda 5 kali nilai wang terlibat dalam pengubahan.

Sementara itu, peguam pendakwa Ahmad memberitahu sekiranya bekas ketua perhubungan awam Najib, Paul Stadlen berjaya ditangkap, beliau akan dibicarakan bersama-sama Hafarizam.

Semalam, Stadlen, bekas pengarah urusan Apco Worldwide Malaysia, dilaporkan akan didakwa tanpa hadir atas kesalahan pengubahan wang.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Stadlen meninggalkan negara sebelum pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

Kamar mahkamah hari ini dilihat sesak dengan kehadiran peguam dan staf firma guaman Hafarizam.

Semalam, Hafarizam dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, sebelum ditahan.

Beliau merupakan peguam Umno kedua yang didakwa dengan kesalahan pengubahan wang, selepas Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.