PH tak amal tradisi beri ‘wahyu’ pada media, kata Kadir

Kadir Jasin mendakwa masih ada akhbar yang dimiliki BN. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) sudah menghentikan tradisi “wahyu” atau arahan khas kepada media seperti diamalkan pentadbiran sebelum ini, kata penasihat media dan komunikasi perdana menteri, Datuk A Kadir Jasin.

“Kami mahu menjadikan media Malaysia berbeza daripada keadaannya sebelum ini selama beberapa dekad di bawah kerajaan lama,” katanya pada sesi dialog bersama media hari ini.

“Selepas PH berkuasa dan tiada lagi ‘wahyu’ daripada kerajaan baru, ramai editor dan wartawan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ada di antara mereka bertanya kepada saya, apakah hala tuju sekarang.

“Jawapan saya mudah, saya cuma minta mereka lakukan apa sahaja yang mereka mahu dengan akhbar mereka kerana kini tidak ada sesiapa lagi yang mengawal mereka.”

Kadir turut mendakwa masih ada akhbar yang dimiliki BN, tetapi bukan PH.

Mengenai gesaan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri, Kadir berkata, ia adalah proses perjalanan demokrasi diamalkan di negara ini.

“Zaman BN dulu, kalau ada seorang ahli Parlimen atau Adun, katakan mewakili MCA, MIC mengkritik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah pasti beliau dipecat daripada partinya.

“Hakikat seorang pemimpin DAP boleh mengkritik dan menggesa perdana menteri meletak jawatan, itu menunjukkan kita demokratik. Adakah kita terus bergaduh? Adakah kita suruh pecat (orang) yang membuat kritikan atau gesaan itu? Tidak bukan?”

Isnin lalu, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau mendesak Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) meletak jawatan kerana PH gagal melunaskan manifesto pilihan rayanya.