Ringgit rendah sedikit berbanding dolar AS

 Pelabur dolar AS kekal berhati-hati berikutan ketegangan antara pentadbiran Presiden AS Donald Trump dan Kongres yang dikuasai Demokrat.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pagi ini berikutan pengambilan untung selepas ditutup pada paras tertingginya dalam tempoh 6 bulan semalam, yang kali terakhir dilihat pada 1 Ogos, 2018.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.0650/0700 berbanding paras penutup 4.0640/0700 pada Rabu.

Seorang peniaga bagaimanapun berkata, kedudukan ringgit masih agak positif dengan prospek harga minyak tinggi mungkin mengehadkan penurunan unit tempatan.

Beliau juga berkata, pelabur dolar AS juga kekal berhati-hati apabila ketegangan memuncak antara pentadbiran Presiden AS Donald Trump dan Kongres yang dikuasai Demokrat.

“Ini berlaku apabila 16 negeri memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump berikutan pengisytiharannya darurat negara berikutan kontroversi tembok keselamatan Mexico,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0080/0121 daripada 3.0066/0115 semalam, susut berbanding pound Britain kepada 5.3012/3097 daripada 5.2986/3081 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.6724/6779 daripada 3.6679/6743.

Bagaimanapun, unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6105/6182 daripada 4.6106/6195 sebelumnya.