Sarawak Report dedah bukti baru Umno biaya kempen pilihan raya PAS

Paparan skrin yang didedahkan Sarawak Report berhubung pemindahan wang ke akaun PAS.

PETALING JAYA: Sarawak Report hari ini menyiarkan apa yang didakwa bukti baru yang menunjukkan PAS menerima dana daripada Umno, 3 minggu sebelum Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi keterangan di mahkamah London bahawa partinya tidak bekerjasama dengan Umno.

Laman web pemberi maklumat itu menunjukkan paparan skrin pemindahan wang sebanyak RM2.5 juta daripada bekas pembantu menteri ke akaun PAS menerusi Bank Islam pada 21 Mac tahun lalu.

Dakwaan ini bercanggah dengan kenyataan Hadi, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kehakiman di London pada 12 April bahawa partinya tidak bergabung dengan Umno, dari segi politik atau lain-lain.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Sarawak Report berhubung laporan yang diterbitkan pada Ogos 2017 yang menyatakan pemimpin kanan PAS menerima RM90 juta daripada bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Kedua pihak bersetuju menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah awal bulan ini.

Sarawak Report berkata Hadi mengesahkan PAS menerima RM2.5 juta itu sebelum kenyataan mahkamahnya tetapi menafikan wang itu daripada Umno.

Laman web itu juga mendakwa RM1 juta lagi diberi oleh Umno kepada PAS dalam masa yang sama.

FMT sedang berusaha mendapatkan respon daripada menteri berkaitan mengenai laporan ini.