Paru-paru Adib cedera, 4 tulang rusuk patah, kata doktor

Dr Nantha Kumaren Muthu Kerishnan ialah doktor pertama yang merawat Muhammad Adib Mohd Kassim, setibanya di SJMC pada 27 November lalu.

SHAH ALAM: Doktor yang merawat Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, anggota bomba itu cedera di paru-paru dan 4 tulang rusuknya patah akibat trauma tumpul.

Dr Nantha Kumaren Muthu Kerishnan yang berkhidmat di bahagian kecemasan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) berkata, muka dan abdomen Adib tidak cedera, tetapi bahagian atas kanan dinding dadanya lebam.

“Kecederaan paru-paru adalah kecederaan utama yang dialami pesakit dan pada asasnya, kecederaan itu menyebabkan paru-paru pesakit luka,” kata saksi ke-12 inkues menentukan punca kematian Adib.

Beliau kemudian memasukkan tiub endotrakeal (ET) melalui mulut ke trakea untuk membolehkan mangsa bernafas.

“Tekanan darah rendah 85/46 dan kandungan oksigen juga rendah, iaitu 48% berbanding kandungan oksigen normal 95%.

“Selepas dengar bunyi keretakan (rusuk) dan mendapati kesan lebam di rusuk kanan Adib, saya arahkan imbasan x-ray ke atas bahagian rusuk Adib.”

Nantha ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Zhafran Rahim Hamzah, berkata selain imbasan x-ray, beliau turut memanggil pakar kardiologi dan bius yang melakukan pelbagai usaha menyelamatkan Adib, termasuk menstabilkan kandungan oksigennya.

“Saya bersama 2 lagi doktor mengambil keputusan memasukkan tiub dada kerana kami dapati barangkali pesakit berdepan Pneumothorax (kegagalan paru-paru).”

Selepas beberapa jam melakukan intubasi dan tiub dada, beliau mendapati muka, abdomen, badan dan skrotum pesakit bengkak.

Katanya, ia mungkin berpunca daripada “Subcutaneous emphysema”, iaitu kebocoran udara di bawah kulit pesakit akibat paru-paru cedera.

Nantha juga percaya kesan lebam pada lengan kanan Adib disebabkan hentakan objek tumpul.

Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara 3 minggu kemudian.