Saya tak akan tarik laporan polis terhadap Papagomo, kata Syed Saddiq

Syed Saddiq (empat dari kanan) berkata, beliau tidak akan menarik semula laporan polis yang dibuatnya terhadap Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

SEMENYIH: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini berkata, beliau tidak akan menarik semula laporan polis yang dibuatnya terhadap Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Beliau berkata, ini disebabkan prinsipnya bahawa perlu berani kerana benar.

“Bab ini kena berani kerana benar. Polis dah ada gambar, ada video dan keterangan saksi.

“Saya biar mereka putuskan dalam bab ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Pemuda Pakatan Harapan (PH) di Beranang, semalam.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan awal polis mendapati Wan Muhammad Azri atau dikenali sebagai Papagomo tidak melakukan kesalahan serius terhadap Syed Saddiq.

Papagomo ditahan di rumahnya di Danau Kota, Setapak, kira-kira pukul 3 petang Ahad, selepas dipercayai terbabit dalam insiden serangan ke atas Syed Saddiq di Kajang.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut menegaskan daripada makluman polis kepadanya, kawasan yang dilaluinya semasa penamaan calon pada Sabtu lalu bukan kawasan himpunan BN.

“Kawasan yang saya lalu itu bukan kawasan himpunnya BN, ia jauh dari lokasi..ini bukan saya kata, polis yang kata.

“Mereka datang dari jauh untuk kejadr kita dan dia jerit anjing hancing, babi, bangang..saya hanya beri salam. Mereka boleh menggunakan taktik kotor ini, tapi rakyat yang akan memerhati,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang medianya juga Syed Saddiq berkata, beliau menghormati keengganan calon PH bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali untuk berdebat dengan calon lain.

“Dalam bab ini, Aiman dari dulu lagi dia kurang bercakap dan lebih kepada berkhidmat. Kalau kita lihat ‘track record’ di sini beliau banyak bantu belia dan NGO khususnya.

“Saya rasa itu kekuatan beliau dan saya hormatinya,” katanya.